Terengganu terus menjadi lokasi pilihan utama di negara ini bagi penganjuran sukan lasak `Terengganu International Rainforest Challenge’ melibatkan kenderaan pacuan empat roda
Penganjuran kali ke lima itu akan dianjurkan selama 10 hari, bermula 30 November membabitkan lokasi di Gong Chempedak, Hutan Rezab Merchang, Marang; Hutan Rezab Besul, Besut dan laluan terakhir Hutan Rezab Sungai Nibong, Hulu Kemaman; .
Sebanyak 25 negara bakal menyertai, termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Fliphina, Poland, United Kingdom, Vietnam, China, Australia dan Colombia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato' Mohd Jidin Shafie, berkata Terengganu sekali lagi menjadi lokasi pilihan kerana peserta tertarik dengan bentuk geografi di negeri ini, selain mahu merasai laluan pada musim tengkujuh.
Katanya, masyarakat setempat tidak perlu bimbang dengan penganjuran sukan lasak itu kerana kenderaan 4 x4 peserta akan melalui laluan khas atau laluan lori balak.
“Peserta sememangnya mempunyai tahap kesedaran tinggi terhadap pemuliharaan hutan dan alam sekitar, selain komited memastikan tiada kerosakan serta pencemaran alam ,” katanya dalam satu kenyataan.
Dato’ Mohd Jidin, berkata penganjuran `rainforest challenge’ mampu menjana ekonomi dan meraih keuntungan dalam pelbagai sektor melalui pendedahan media tempatan dan antarabangsa.
“Langkah itu, sudah tentu dapat meningkatkan jumlah pelancong ke Terengganu, selain menimbulkan minat golongan belia terhadap sukan lasak pacuan empat roda .
“Dapat mejenamakan Terengganu sebagai destinasi sesuai untuk penganjuran sukan lasak bertaraf dunia melalui cabaran hutan hujan tropika, bentuk muka bumi yang pelbagai di samping ketidaktentuan cuaca pada musim tengkujuh,” katanya.