Halaman

30 November 2013

137 premis makanan abai kebersihan diarah tutup

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengarahkan 137 premis makanan di negeri ini ditutup setelah didapati mengabaikan kebersihan premis dan pengendalian makanan.

Pengarahnya, Dato’ Dr Anwa Sulaiman berkata, penutupan dalam operasi sejak Januari hingga Oktober lalu membabitkan 8,623 pemeriksaan itu juga berpunca daripada kes keracunan makanan serta penemuan air kencing dan tahi tikus di premis makanan terbabit.

 “Pada amnya, tahap kebersihan premis makanan di Terengganu berada di tahap memuaskan dengan peratus premis yang mendapat gred A sehingga Oktober tahun ini adalah 57 peratus berbanding 57.4 peratus pada sepanjang tahun lalu (Januari hingga Disember).

“ Premis yang mendapat Gred B sehingga Oktober 2013 sebanyak 42 peratus berbanding 42.6 peratus  sepanjang 2012,” katanya kepada pemberita di Seminar Keselamatan Makanan dan Majlis Penganugerahan Premis Makanan Bersih Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013, di Dewan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, kelmarin.

Sehingga kini, sebanyak 5,082 premis makanan berdaftar melalui JKNT seluruh Terengganu.

Selain itu, daripada aktiviti pemeriksaan dan penggredan premis makanan, JKNT juga menjalankan persampelan makanan bagi tujuan penguatkuasaan dan pemantauan.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,477 sampel makanan diambil dan dianalisa.Daripada jumlah tersebut, 99 sampel makanan (6.7 peratus) didapati melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan makanan 1985.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2013, sebanyak 1,386 sampel makanan dianalisa dengan jumlah perlanggaran akta yang dikesan sebanyak 59 sampel (4.2 peratus) ,” katanya

Menurutnya, pihaknya bukan sahaja melakukan pemeriksaan dan penggredan premis makanan secara rutin, pemeriksaan secara besar-besaran bersama jabatan lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan wakil media juga dilaksanakan.

Katanya, operasi pemeriksaan dan penutupan premis makanan bermula sejak Julai lalu, selain JKNT akan meneruskan operasi dua kali sebulan di seluruh Terengganu.

“Operasi ini diadakan bertujuan meningkatkan tahap kebersihan premis makanan di seluruh negeri Terengganu dan penekenan diberikan terhadap kehadiran makhluk perosak seperti tikus di premis makanan.

“Tindakan penguatkuasaan dan perundangan di bawak Akta Makanan 1983 akan diambil terhadap peniaga makanan yang engkar dan gagal mematuhi peraturan, di mana antara tindakan yang boleh diambil adalah tindakan menutup premis makanan yang tidak sanitari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.

Selain daripada itu, peniaga yang gagal mematuhi Akta Makanan 1983 juga boleh dihadapkan ke mahkamah sebagaimana diperuntukan di bawah Seksyen 32 (B) berkenaan.

Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 akan mula dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2014 sebagaimana surat arahan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 31 Disember 2009.