Halaman

26 November 2013

JAS tangani kes kebakaran berulang di Kampung Tok Kah, Dungun

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu meningkatkan pemantauan dan langkah berjaga-jaga berikutan kes kebakaran berulang di kawasan berpaya di Kampung Tok Kah, Dungun sejak kebelakangan ini.

Pengarahnya, Puan Roshadah Hashim berkata, pada tahun ini, JAS menerima dua aduan kebakaran terbuka di tanah lembap itu, melibatkan keluasan masing-masing lebih 40 hektar dan 55 hektar. 

“Apabila musim panas dan kering di kawasan Terengganu ini, apa yang merisaukan kita adalah pembakaran terbuka di Dungun (Kampung Tok Kah), biasanya akan menyebabkan kebakaran.

“Kawasan itu tanah gambut, lagipun sumber air di kawasan kurang jadi apabila terbakar lambat sikit dapat dipadamkan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman /Nota Kerjasama Antara JAS Terengganu dan Agensi Kerajaan, IPT dan Swasta serta 3P, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir merasmikan majlis itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau & Air negeri, YB Haji Bazlan Abd Rahman. Hadir sama, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Dato’ Abu Hassan Mohd Isa.

 “Kita ada menerima dua laporan berhubung kebakaran di kawasan sekitar Kuala Abang pada tahun ini, yang mana kali pertama (tahun ini) pada Mei lalu akibat cuaca yang terlampau kering dan panas.

 “Apa yang membimbangkan, kebakaran berlaku berhampiran rumah penduduk dan boleh menjejaskan keselamatan penghuni kawasan itu, malah jika berlarutan akan menyebabkan kualiti udara merosot,”katanya.

Bagaimanapun, Puan Roshadah berkata, sehingga kini, punca sebenar kebakaran di kawasan itu sejak akhir-akhir ini tidak dapat dipastikan.

“Kita pun tidak tahu punca sebenar kebakaran, bagaimanapun pihak bomba memberitahu apabila musim panas kadang-kadang di situ, kaca-kaca lama yang orang buang di kawasan itu boleh mengeluarkan percikan api, kadang-kadang orang buang puntung rokok sahaja, disebabkan keadaan tersangat kering jadi mudah terbakar dan merebak,” katanya.