Halaman

24 November 2013

Terengganu catat peningkatan 111 peratus kes diabetes

Oleh: Noraini Jusoh

Kes diabetes di Terengganu menunjukkan peningkatan yang agak mendadak dalam tempoh lima tahun dengan 2519 kes atau 111 peratus direkodkan tahun lepas berbanding 2264 tahun 2008.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Mohd Jusoh berkata, berdasarkan Pendaftaran Kes Baru Diabetes bagi tahun 2008 hingga 2012 mendapati, saban tahun berlakunya peningkatan kes baru diabetes.

‘Ia melibatkan semua daerah iaitu 2264 kes baru bagi tahun 2008, 2010 (3448 kes) dan 2012 (4783 kes).

“Manakala bagi tahun ini pula, sehingga September terdapat 3603 kes baru diabetes telah dilaporkan dan ini tidak termasuk kes yang direkodkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah,” ujarnya.



Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2013 yang disempurnakan YDP Dewan Undangan Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong di Perpustakaan Awam Negeri, hari ini.

Katanya, kurang kesedaran untuk melakukan saringan kesihatan adalah antara punca kes-kes penyakit sebegini meningkat.

Mengulas mengenai program yang dianjurkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu, beliau berkata sambutan seumpama ini adalah salah satu usaha JKNT dalam mencegah dan mengawal diabetes yang begitu membimbangkan agar tidak terus menjadi lebih serius.



“Sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Terengganu kali ini, pelbagai acara diadakan bagi memastikan objektif memberi kesedaran kepada masyarakat berjaya dicapai antaranya seperti bengkel interaktif dan forum (diabetes dan anda), pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan, demostrasi masakan sihat serta kuiz kesihatan,” ujarnya.