Halaman

28 November 2013

JKNT saran pengusaha industri makanan sertai skim MeSTI

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyarakankan semua pengusaha industri makanan di seluruh Terengganu khususnya dalam sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) supaya menyertai skim MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) bagi meningkatkan keyakinan pengguna dan menambah pemasaran produk keluaran masing-masing.

Pengarahnya, Dato’ Dr Anwa Sulaiman berkata, Skim MeSTI boleh meyakinkan pengguna dan orang ramai bahawa produk makanan keluaran mereka adalah selamat , boleh dimakan serta digunakan dan mematuhi keperluan perundangan yang berkaitan.

“Dalam membantu industri makanan untuk mengadakan Sistem Jaminan Keselamatan Makanan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui JKNT telah mewujudkan skim MeSTI di mana pengusaha dibimbing dan diajar bagaimana kaedah dan cara-cara dalam menyediakan `Sistem Jaminan Keselamatan Makanan’ di premis mereka.

 “Walau bagaimanapun, sambutan daripada pihak industri makanan di Terengganu setakat ini agak kurang menggalakkan dan JKNT mengalu-alukan penyertaan pihak industri makanan untuk mengambil peluang menyertai skim ini,” katanya kepada pemberita di Seminar Keselamatan Makanan dan Majlis Penganugerahan Premis Makanan Bersih Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013, di Dewan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, hari ini.

Daripada 309 pengusaha industri makanan yang berdaftar dengan JKNT, hanya 29 pengusaha sahaja yang memohon skim berkenaan dengan enam daripadanya sudah mendapat kelulusan dan sijil pengiktirafan.

Enam pengusaha industri makanan terbabit, ialah Pertima Trengganu Sdn Bhd (Chendering, Kuala Terengganu), HH Laris Enterprise (Kampung Langkap, Setiu), Rudyz Enterprise (Batu Tujuh, Dungun), RNZ Daya Maju Trading (Inkubator Mardi, Kampung Apal, Besut) dan Bee One Pastry (Jalan Semerak, Kuala Besut)

Manakala dua daripada 23 pengusaha lagi akan diluluskan dalam masa tedekat selepas menepati kelayakan dan prosedur skim itu, sementara selebihnya sedang diproses sebelum mendapat kelulusan.

Selain itu, beliau berkata, pengusaha dan pengendali makanan boleh berhubung terus dengan pegawai di BahagianUnit Keselamatan dan Kualiti Makanan di JKNT atau Pejabat Kesihatan Daerahyang berdekatan sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

 “ Pihak Jabatan sentiasa berusaha untuk membantu dan menyedarkan peniaga dan orang ramai tentang keperluan penjagaan kebersihan premis makanan dan makanan yang dijual,” katanya.