Halaman

30 November 2013

Hampir kesemua penuntut YT kembali ke Mesir.

Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Hanya kurang 10 daripada 221 penuntut tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang belajar di Mesir meneruskan pengajian mereka di negara ini manakala selebihnya kembali menyambung pelajaran mereka di negara itu selepas pulang ke tanahair kerana situasi yang tidak menentu berlaku di Mesir, baru-baru ini.

Azmi Razik(dua dari kiri)
Pengarah Yayasan Terengganu, Azmi Razik berkata, penuntut yang mengambil keputusan tidak meneruskan pengajian di Mesir itu diuruskan tempat pengajian mereka di negara ini oleh keluarga masing-masing tetapi pihak Yayasan Terengganu tetap membiayai biasiswa mereka.

"Sekarang kita dah mula mengurangkan pelajar-pelajar di Mesir dan mahu menghabiskan pelajar yang ada. Situasi di Mesir sekarang sudah terkawal. Tumpuan hari ini adalah Jurusan Perubatan di Mansurah (Universiti) dan sebagainya. Pelajar yang ada akan menamatkan pengajian mereka. 

"Suasana semakin aman di Mesir sekarang dan hampir semua sudah pulang menyambungkan pelajaran mereka. Pelajar yang menyambung pelajaran mereka di negara ini tidaklah ramai, tidak sampai sepuluh orang.

"Pihak YT tidak menguruskan pelajar-pelajar ini cuma kita beri tajaan dan pembiayaan tidak sebagaimana di Mesir, di sini lebih tinggi sedikit," katanya kepada Teganukita ketika ditemui dalam satu majlis, di sini, baru-baru ini.

Azmi berkata, suasana di Mesir sudah mulai tenang, dan katanya, tempat penempatan pelajar YT itu berada jauh daripada kawasan merah.

"Cuma kegusaran ibubapa. Pada sayalah, sayang masa depan anak-anak ini, bagi penuntut perubatan di tahun akhir saya mengharapkan mereka akan meneruskan pengajian masing-masing," katanya.

Azmi menasihati semua penuntut tajaan YT yang belajar di Mesir supaya tidak menghampiri kawasan-kawasan yang sering berlaku rusuhan dan mengharapkan suasana di Mesir akan kembali tenang dan aman supaya penuntut YT itu dapat menamatkan pengajian masing-masing dengan jayanya.