Halaman

29 November 2013

618 pemohon layak terima insentif perkahwinan

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menerima 737 permohonan daripada ibu dan bapa tunggal untuk mendapat Insentif Perkahwinan sejak skim ini diperkenalkan Januari lalu.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, daripada jumlah itu 618 layak menerima insentif berkenaan melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM1,236,000.

"Penerima insentif perkahwinan ini perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan dan mesti mengikuti beberapa program pemantapan perkahwinan seperti ‘pasca perkahwinan’, ‘keluarga generasi baru’ dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Insentif Perkahwinan Ibu/Bapa Tunggal Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, baru-baru ini.

Mohd Shafaruddin berkata, dari permohonan yang diluluskan, pasangan paling muda menerima insentif ini berusia 20 tahun (ibu tunggal) dengan pasangannya berusia 21 tahun dari Parlimen Kemaman.

“Manakala, pasangan paling berusia ialah pasangan berumur 92 tahun (duda) dengan pasangan berusia 72 tahun (ibu tunggal) daripada Parlimen Marang,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 254 pasangan diraikan dan menerima insentif perkahwinan masing-masing.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, statistik menunjukkan bahawa di negeri ini terdapat seramai 24, 318 orang yang berstatus ibu tunggal dan seramai 2, 810 pula berstatus duda.

"Kerajaan negeri akan sentiasa memberikan galakan di dalam proses perkahwinan semula ini bagi membantu ibu tunggal dan duda di Terengganu agar mereka dapat membina satu kehidupan baru yang lebih bahagia.

"Sejak diperkenalkan bermula awal tahun ini, program insentif perkahwinan menunjukkan perkembangan yang cukup menggalakkan. Justeru, program ini akan diteruskan pada masa akan datang termasuk penambahan peruntukan juga akan dipertimbangkan,” ujarnya.