Halaman

29 November 2013

Ibu sarat mengandung dinasihat pindah ke kawasan selamat di musim tengkujuh

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menasihatkan ibu yang sarat mengandung terutama usia kandungan mencapai 36 minggu ke atas supaya segera berpindah ke tempat lebih selamat bagi memudahkan untuk mendapat rawatan sekiranya kawasan kediaman ditenggelami air ketika musim tengkujuh ini.

Pengarahnya, Dato’ Dr Anwa Sulaiman, berkata bukan hanya ibu mengandung, pihaknya juga menasihatkan pesakit kronik turut berbuat demikian supaya tidak terputus hubungan akibat jalan ditenggelami banjir.

“Kita tidak mahu apabila sakit , bukan sahaja mangsa tidak dapat ke pusat kesihatan dan hospital, malah kita juga gagal sampai kepada mangsa akibat jalan yang ditenggelami air.

“Jadi kita harap ibu mengandung dan juga pesakit kronik berkenaan segera berpindah ke rumah keluarga di kawasan lebih selamat,” katanya kepada pemberita di Seminar Keselamatan Makanan dan Majlis Penganugerahan Premis Makanan Bersih Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2013, di Dewan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, semalam.

Dato' Dr Anwa juga menasihatkan semua pesakit kronik yang sentiasa memerlukan ubat-ubatan supaya memastikan stok ubat mereka mencukupi ketika musim tengkujuh ini.

Katanya, ubat-ubatan itu juga perlu dijaga dan disimpan dengan baik selain dibawa bersama apabila berpindah ke pusat pemindahan.

Selain itu, JKNT juga akan memastikan semua peralatan dan bekalan ubat mencukupi bagi menampung permintaan pesakit khususnya di hospital dan klinik yang mungkin akan terputus hubungan akibat banjir.

 “Di setiap klinik itu sendiri biasanya tersimpan bekalan ubat bagi tempoh dua bulan terutama ubat yang perlu disediakan dan kerap digunakan pesakit khususnya di kawasan yang kerap terputus hubungan akibat jalan ditenggelami air pada musim tengkujuh yang sering melanda Terengganu,"katanya.