Halaman

10 March 2013

KEDAULATAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Oleh: Lanbayu Telipot 

Negara baru sahaja dikejutkan dengan isu pencerobohan ke atas Sabah oleh penceroboh dan pengganas bersenjata dari Sulu.

Sabah adalah sebuah negeri yang berdaulat di bawah Malaysia dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankan bumi kita dari diceroboh oleh mana-mana pihak sekalipun.

Lebih-lebih lagi apabila kumpulan penceroboh dan pengganas itu telah membunuh lapan orang anggota keselamatan negara kita dengan zalimnya.

Kita tidak mahu keamanan dan kedamaian di negara kita diganggu-gugat oleh mana-mana pihak asing.

Sekian lama negara ini yang terdiri dari pelbagai bangsa, agama dan budaya: mereka telah bersatu menjaga dan memelihara negara ini agar aman dan damai serta maju dan makmur.


Pada masa sekarang, ia diperkukuhkan lagi dengan Gagasan 1 Malaysia. Justeru itu, kita perlu bersatu atas semangat 1 Malaysia, menyokong tindakan pihak berkuasa untuk memastikan setiap inci bumi kita ini dari dicerobohi.

Malangnya ada juga pihak tertentu yang cuba menimbulkan kecelaruan dengan menuduh tragedi yang mencabar maruah negara kita itu hanya sandiwara.

Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata ada pihak yang tergamak mengatakan bahawa kejadian pencerobohan oleh kumpulan bersenjata di Lahad Datu sebagai “sandiwara”.

Tanpa menamakan individu berkenaan, Perdana Menteri berkata tindakan itu merupakan "perbuatan yang keji" oleh orang yang “tak ada isi perut”.

Menceritakan detik sewaktu menyambut anggota keselamatan yang terbunuh dalam serangan di Lahad Datu di Lapangan Terbang Subang baru-baru ini, beliau berasa teramat sedih ketika melihat balu dan anggota keluarga mereka.

Ada balu yang kehilangan suami ketika anak masih dalam kandungan.

Sehubungan dengan itu marilah kita menyokong penuh tanpa berbelah bagi di atas langkah dan tindakan kerajaan menangani isu pencerobohan itu.

Kita semua sudah tentu tidak boleh menerima sama sekali jika ada mana-mana pihak yang bersengkongkol dengan musuh atau penceroboh itu.

Jika ada didapati perbuatan rakyat di negara ini sendiri menjadi api di dalam sekam atau duri di dalam daging, ia amatlah mendukacitakan kita.

Ia perlu disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.

Kita tidak mahu wujudnya lagi watak si Kitol di abad ini.

Dalam sejarah kejatuhan Kesultanan Melaka, salah satunya ialah berpunca dari peranan si Kitol yang menjadi musuh dalam selimut, menjadi pemberi maklumat kepada pihak asing hingga Melaka jatuh ke tangan Portugis.

Apabila Sabah amnya, dan Lahad Datu khususnya dicerobohi, rakyat negara ini mestilah siap siaga untuk pertahankan tanahair kita. Dalam konteks agama Islam ia adalah suatu jihad.

Imam Ahmad berkata: "Berjihad dan berperang bersama pemerintah tetap berlangsung sehingga hari Kiamat, sama ada pemerintah tersebut baik ataupun yang jahat"
 Jelaslah di sini bahawa mempertahankan kedaulatan negara adalah menjadi keutamaan.

 Kita tiada pilihan lain, melainkan bersama-sama dengan pemimpin dan pemerintah untuk pertahankan negara kita dari sebarang ancaman penceroboh dan anasir luar.