Halaman

14 March 2013

YPU jalin kerjasama dengan OUM dan Jati Bestari Sdn Bhd

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah menjalin kerjasama dengan dua agensi bagi memantapkan bidang keusahawanan di negeri ini.


Majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara YPU dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik manakala OUM diwakili Presidennya Profesor Emeritus, Tan Sri Anuwar Ali.

Manakala MoU antara Koperasi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (KOPUTERA) dan Jati Bestari Sdn. Bhd ditandatangani Naib Presiden KOPUTERA, Haji Zulkifli Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Jati Bestari Sdn. Bhd, Haji Uzir Abdul Samad.

Kedua-dua perjanjian tersebut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera sempena majlis Perasmian Karnival dan Forum Usahawan 2013 di Dewan Konvensyen, Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, jalinan kerjasama menerusi MoA dengan OUM bagi program pendidikan dan keusahawanan bertujuan menawarkan program atau kursus terutamanya dalam bidang pengurusan perniagaan kepada usahawan yang berminat.

"Kerjasama ini juga bagi memacu dan meningkatkan pembudayaan keilmuan khususnya kepada usahawan dan masyarakat Terengganu,” ujarnya.

Katanya, MoU yang dimeterai pula menandakan satu bentuk kerjasama antara KOPUTERA dan Jati Bestari Sdn Bhd bagi melantik KOPUTERA sebagai pengedar utama produk Ayamazz Roti Impit di negeri ini dan mengenalpasti usahawan yang berpotensi bagi membuka perniagaan tersebut.