Halaman

10 March 2013

HUTAN DAN BALAK TERENGGANU DIURUS BAIK-KATA PENGARAH JABATAN HUTAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Pengarah Jabatan Hutan Negeri Terengganu, Haji Azmi Nordin memberi tahu bahawa pengurusan kawasan hutan di negeri ini berjalan dengan baik dan telus.

Beliau menjelaskan Jabatan Hutan Terengganu sentiasa memantau apa-apa berkaitan dengan pengurusan hutan bagi pihak kerajaan. Katanya, Lembaga Hasil Hutan Negeri ada meluluskan kawasan balak kepada 12 syarikat yang mempunyai kilang papan di negeri ini.

“Skim sawmill itu ada kebaikannya untuk tujuan menjaga kebajikan pekerja ‘sawmill’ berkenaan. Di samping itu untuk mengembangkan ekonomi negeri, khususnya di sector perkayuan.

Ia telah diadakan sekian lama, sejak zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar lagi dana diteruskan oleh Dato’ Seri Ahmad,” jelasnya.

Skim ini bertujuan untuk mempastikan sawmill dapat terus beroperasi dan pekerja terus mendapat kerja dan menanggung keluarga mereka.

Katanya,kelulusan diberikan kepada sawmill terbabit adalah berdasarkan kreteria yang diputuskan dalam mesyuarat rasmi Lembaga Mengambil Hasil Hutan dipengerusikan Menteri Besar sejak dulu lagi dan Pengarah Jabatan Hutan sebagai pegawai kerajaan ada sama di dalam mesyuarat itu.

Jelasnya lagi, kawasan hutan yang hendak diberi pun terlebih dahulu diperiksa oleh Jabatan Hutan dan bukannya boleh diluluskan sewenang-wenangnya.

Oleh itu katanya, orang ramai diminta berhati-hati dalam menerima maklumat yang tidak pasti dan perlu merujuk kepada pihak bertanggungjawab dalam urusan berkaitan hutan dan balak terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa andaian.

Baru-baru ini ada pihak yang cuba menuduh pihak kerajaan mengurus balak dengan tidak betul dan kononnya pemimpin kerajaan negeri ‘baham balak’ dan dengan penjelasan sendiri oleh Pengarah Jabatan Hutan itu menafikan sama sekali tuduhan dan fitnah itu.