Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said tidak berganjak dan melatah dengan kecaman pembangkang yang sentiasa menolak setiap pembangunan yang sedang pesat dilaksanakan di seluruh Terengganu.
“Apa yang hendak dirisaukan. Mereka (pembangkang) tiada isu. Apabila tiada pembangunan, mereka kata tiada pembangunan.
“Kalau ada pembangunan mereka akan kata pembangunan yang begitu komprehensif dan sebagainya. Saya pun tidak faham (dengan dakwaan pembangkang). Mereka kata tiada pelabur tapi datang pelabur mereka kata macam-macam (kepada kerajaan),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pecah tanah Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) Mall, di tapak projek bersebelahan lorong Hotel Sumai, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Mohd Adzlan Dagang.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato’ Jebasingam Issace John dan Pengarah Urusan Kumpulan KTCC Mall Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Tang Yeam Soon.
Menteri Besar berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan berhubung dakwaan pembangkang yang meragui kemajuan dan status projek KTCC itu, sebaik sahaja pemindahan penduduk di kawasan terlibat dilaksanakan beberapa tahun lalu.
Beliau berkata, pembangkang yang ketandusan isu bagi menarik perhatian rakyat supaya membenci Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mencipta isu dengan menjadikan setiap pembinaan kemudahan dan infrastruktur berkenaan sebagai modal politik mereka.
Dato’ Seri Haji Ahmad turut mengambil contoh isu yang dimainkan pembangkang berhubung pembinaan Pasar Kedai Payang baru yang didakwa golongan itu sebagai tindakan yang boleh melenyapkan identiti dan warisan negeri.
Menurutnya, Kerajaan BN akan mengekalkan keputusan untuk membina pasar baru yang lebih selesa, cantik serta mengekalkan tradisi serta warisan seni bina Terengganu kerana pasar sedia ada itu sudah tidak selamat lagi untuk diduduki.
“Orang yang desperado bercakap, sedangkan mereka membuat demontrasi (isu Pasar Payang) tanpa melibatkan peniaga pasar itu. Kita sudah berjumpa dengan peniaga pasar dan mereka bersetuju dengan pembangunan yang akan kita buat.
“Mereka yang tidak kena mengena ini mahu menjadikan isu politik. Macam dululah..apabila kali pertama kerajaan negeri memperkenalkan `rotary car park’, tempat letak kereta bertingkat (di Jalan Batas Baru) yang pertama di Malaysia , mereka kata belum sampai masanya, bukan Johor Baharu, bukan Kuala Lumpur, bukan Penang,” katanya.
Tambah beliau, pada peringkat awal, rakyat sememangnya sukar menerima perubahan, bagaimanapun kerajaan negeri akan tetap meneruskan pembangunan sebagai usaha memberi manfaat kepada rakyat pada masa depan.