Halaman

12 March 2013

Daerah Besut dipilih tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2013


Rozali (tengah) sedang mempengerusikan mesyuarat di Pejabat Daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Jawatankuasa Penganjur memilih Daerah Besut selaku tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun ini.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,Dato’Haji Rozali Saleh berkata,majlis berekenaan ditetapkan berlangsung pada 2 hingga 4 April depan di Stadium Mini Kampung Raja, Besut.

Katanya, mesyuarat jawatankuasa pelaksana yang diadakan di Pejabat Daerah Besut (PDB) hari ini membuat keputusan majlis berkenaan akan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. Manakala upacara penutup dan penyampaian hadiah kepada peserta yang berjaya akan disempurnakan oleh DYMM Sultan Terengganu.

 “Segala persiapan sudah diatur bagi menjayakan majlis berkenaan yang diharap menjadi salah satu program keagamaan berprestij tahun ini,” katanya pada sesi mesyuarat jawatankuasa terbabit hari ini.

Menurutnya, pada majlis itu 16 peserta mewakili qari dan qariah dari seluruh daerah negeri ini akan mengambil bahagian dalam majlis tilawah yang bertemakan "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" berkenaan.

Rozali berkata, bagi menarik minat orang ramai menghadiri majlis itu pihak penganjur juga sedia menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah.

Manakala pihak penganjur juga akan menyediakan bas khas bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada penduduk sekitar daerah Besut dan Setiu menghadiri majlis itu.