Halaman

12 March 2013

BN mampu menang di Rhu Rendang

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku telah mendekati lebih 18,000 orang daripada sejumlah hampir 23,000 pengundi di DUN berkenaan dalam tempoh terdekat ini.

Daripada jumlah itu, katanya, 11,000 orang merupakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di mana beliau menyampaikan bantuan baucer kepada setiap orang dari mereka.

“Mereka ini saya jumpa setiap orang dan beri baucer kepada mereka. Bukannya saya himpun mereka dan beri ceramah, lepas itu tinggalkan majlis begitu saja,” katanya ketia berucap pada Program Bina Jati Diri Belia anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.



Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong, memberikan ceramah kepada kira-kira 100 belia yang hadir pada majlis berkenaan.

Dalam konteks ini, Nik Dir mahu menggambarkan betapa pengundi di DUN Rhu Rendang terlalu dekat dengan beliau yang telah dilantik oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membantu penduduk di kawasan tersebut dalam pelbagai aspek kehidupan mereka.

Beliau berkata, pengundi lain yang turut beliau temui termasuk penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, nelayan dan pelbagai program lain yang dianjurkan pihaknya di kawasan tersebut.

“Saya rasa terlalu dekat dengan pengundi di DUN Rhu Rendang dan mereka telah mendapat macam-macam bantuan dari kerajaan.

“Oleh itu, berdasarkan sambutan yang diberikan mereka, saya yakin BN berpeluang untuk menang di Rhu Rendang pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Haji Nik Dir berkata, lebih 2,000 pengundi di kawasan tersebut yang beliau belum berkesempatan untuk bertemu merupakan pengundi luar yang kebanyakannya balik ke kawasan itu apabila tiba masa mengundi.