Halaman

16 March 2013

Pemuda yakin golongan muda sedar tanggungjawab

Oleh: Gelombang biru 

Pergerakan Pemuda Barisan Nasional Terengganu akan memastikan semua golongan muda di Terengganu akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dalam usaha membantu Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar.

Jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun adalah seramai 343,938 orang atau 54.60 peratus daripada keseluruhan 629, 869 pengundi di Terengganu sehingga akhir tahun lalu.

 Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata dia yakin golongan itu sedar tanggugjawab masing-masing apabila tiba waktunya kelak bagi memilih parti yang telah banyak berjasa dan pemimpin berkaliber.

 “Pada masa sama , ingatlah pesanan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya jangan ikut nafsu, sebaliknya menggunakan akal ketika memilih kerajaan,” katanya.

Katanya, pihaknya akan terus memperhebatkan gerakan untuk mendekati golongan muda dalam usaha menyakinkan mereka terhadap BN sebagai peneraju Terengganu dan negara.

 “Program serampang dua mata yang sebelum ini telah dilaksanakan dengan jayanya akan terus dipergiatkan lagi setelah ianya menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

 “Pelbagai program seperti kelab permotoran di setiap Parlimen, program kebajikan, kesukanan serta lain-lain program yang menepati cita rasa golongan muda sedang berjalan lancar.

 “Pendekatan itu penting dalam usaha mendekati anak-anak muda yang merupakan penentu kepada pilihan raya,” katanya.

 Menurutnya, pihaknya mengakui bukan sahaja BN yang akan cuba mendekati golongan tersebut, malah di kalangan parti-parti pembangkang.

 “Sebab itulah, pentingnya program yang menepati cita rasa mereka dan bukannya program syok sendiri. Perkara ini turut diingatkan oleh pucuk pimpinan dan ianya seiring dengan prinsip Pemuda Umno itu sendiri .

 “Maknanya kita bukan sahaja memberi tumpuan terhadap ahli kita, tetapi kumpulan anak-anak muda yang lain,” katanya .

 Encik Saiful Bahri yakin anak-anak muda di Terengganu tetap bersama BN berdasarkan kepada apa yang telah dilaksanakan sebelum ini.