Halaman

12 March 2013

Tawaran Pas tidak rasional

Oleh: Aida Abd Rahman

Pas sanggup menipu dan tidak rasional ketika berjanji demi meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Ketika Kerajaan Barisan Nasional (BN) berusaha membangunkan ekonomi negeri dan menarik pelabur asing supaya taraf sosioekonomi rakyat semakin baik serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan, Pas pula menjanjikan `17,000 pekerjaan dalam tempoh tiga tahun sekiranya parti itu berjaya menawan Terengganu pada PRU nanti.

Tawaran pekerjaan itu adalah satu daripada 10 manifesto Pas termasuk lima manisfesto tambahan kepada manifesto lima perkara yang diumumkan pada Oktober 2010 lalu.

“Apa pekerjaan yang Pas mahu laksanakan? Mahu mengajak rakyat, orang muda `sekat ombak di laut, bekerja di kilang buat biskut?’ tolong nyatakan dan ulaskan kenyataan dan pendirian mereka.. bukan sekadar tulis dan uar-uarkan..tetapi tidak ada rasional dan logik sebalik janji-janji itu.

 “Sepanjang tiga tahun mereka janji 17,000 pekerjaan, bermakna kira-kira 6,000 setahun pekerjaan yang mahu ditawarkan. Kita hendak buat kilang pun menunggu tempoh dua tahun lebih, hendak dapat kelulusan makan masa dua tahun setengah juga.

 “Saya hendak tanya Pas, jika itu yang mereka hendak lakukan, berapa syarikat yang sudah berunding dengan mereka sekarang? Daripada Korea, Jepun? Apa nama syarikat itu..kilang apa, kerja apa. Kita kena tahu dan jangan main tulis sahaja. Ini bohong. Senaraikan kilang apa. Jangan tipu rakyat,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata, Kerajaan Terengganu berhasrat untuk menandatangani  MoU dengan pelabur asing bagi membangunkan kompleks kilang besi yang membabitkan peruntukan RM15 bilion dan bakal menyediakan kira-kira 5,000 pekerjaan kepada warga tempatan.

Katanya, pembinaan itu akan mengambil masa tiga hingga empat tahun sebelum dapat beroperasi dan mengisi tenaga kerja yang bersesuaian secara berperingkat-peringkat.

Beliau berkata, jika setakat tulis (janji), Kerajaan BN juga boleh menulis dan jika gagal menunaikannya pada masa yang ditetapkan, pasti rakyat akan marahkan pemimpin berikutan tidak bertanggungjawab dan bertindak sewenang-wenang menipu mereka.

 “BN pun boleh janji dan tulis..`15,000 pekerjaan untuk rakyat jika BN terus diberi mandat mentadbir negeri’. Jadi, jika gagal dan tidak dapat lakukan, kita jawab pada semua orang `kita sudah cuba, tetapi tidak dapat tunaikan, hendak buat macam mana’.

 “Oleh itu, janganlah sedap berjanji, sedangkan perkara itu mustahil untuk ditunaikan. Kita kena rasional dengan apa yang kita mahu lakukan, lebih-lebih lagi dengan rakyat yang mengharapkan kerajaan yang adil dan bertanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini, beberapa kenyataan yang dipetik dalam blog pembangkang- seramai 17,000 rakyat Terengganu yang menganggur dijanjikan dengan peluang pekerjaan sekiranya Pas diberi peluang memerintah Terengganu selepas PRU13 ini.

Malah, Pesuruhjaya Pas Terengganu Haji Mohd Abdul Wahid Endut mendakwa berdasarkan kajian yang dibuat sebanyak empat peratus atau 17,000 belia di Terengganu tidak memiliki sebarang pekerjaan.

Dato’ Seri haji Ahmad berkata, puak Pas sanggup menipu dan melakukan apa saja, asalkan mereka dapat meraih undi daripada rakyat, sedangkan hakikat sebenar, mereka sendiri sedar dan tahu apa yang diperkatakan itu tidak mampu dilaksanakan sama sekali.

 “Cuba fikir, bagaimana puak pemimpin Pas ni, nak wujudkan 17,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada sekarang ni pun hanya berupaya menawarkan 5,000 hingga 7,000 peluang pekerjaan saja apabila membuat pelaburan dengan jumlah besar mencecah bilion ringgit dalam tempoh beberapa tahun.

 “Itu pun selepas kita berusaha dan gigih mencari peluang menarik minat beberapa ahli perniagaan dan pelabur besar yang terkemuka untuk bekerjasama melaksanakan projek dan membangunkan industri di negeri ini,” katanya.