Halaman

16 March 2013

11 Klinik 1Malaysia di Terengganu


Oleh FAUZI MOHD

Terengganu akan mempunyai 11 Klinik 1Malaysia apabila sebanyak tiga buah lagi klinik berkenaan akan dibuka di negeri ini dalam masa terdekat.



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, terdapat lapan buah klinik berkenaan telah beroperasi pada masa kini termasuk Klinik 1Malaysia Bukit Kuang, Kemaman yang baru dirasmikan petang tadi.

Katanya, tiga lagi Klinik 1Malaysia sedang dalam persiapan terakhir untuk dibuka di tiga daerah iaitu Besut, Hulu Terengganu dan Dungun.

"Idea Perdana Menteri mewujudkan klinik itu dapat memberi manafaat kepada masyarakat berpendapatan rendah mendapat akses kesihatan yang cepat dan selesa tanpa menunggu lebih lama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Klinik 1Malaysia Bukit Kuang di Teluk Kalong, Kemaman petang tadi. Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman.

Tujuh lagi Klinik 1Malaysia yang beroperasi di seluruh negeri ialah di Kampung Nyior Tujuh di Daerah Besut, Bukit Payong (Marang), Batu 6 (Dungun), Binjai (Kemaman) dan selebihnya di Kuala Terengganu iaitu Wakaf Tembesu, KP Perdana Kubang Parit serta Taman Adis Indah.

Tambah Ahmad, sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan di klinik berkenaan adalah baik dengan purata kedatangan sehari tertinggi dicatatkan di Klinik 1Malaysia Bukit Payong seramai 88 orang.



"Paling rendah pun sekitar 40 orang sehari (purata) seperti di Taman Adis Indah, KP Perdana Kubang Parit dan Batu 6 di Dungun.

"Dengan caj rawatan serendah RM1, kewujudan klinik ini mampu menampung kekurangan klinik kesihatan di kawasan operasi khususnya di luar bandar", jelasnya.