Halaman

11 March 2013

Program kemasyarakatan mematangkan pelajar

Oleh; Esah Abdullah



“Program kemasyarakatan mampu mematangkan pelajar bila mereka benar-benar berada dalam dunia pekerjaan kelak,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri YB Haji Khazan Che Mat.

Katanya, ramai orang belajar agama tetapi kurang iman dan banyak orang cerdik pandai tetapi masih tidak mampu menawan hati masyarakat.

“Keadaan itu seakan menjadi suatu kebiasaan dalam kehidupan sekarang di mana orang yang berilmu kurang menyertai aktiviti kemasyarakatan kerana kekangan waktu dan sebagainya,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Program Khidmat Bakti Masyarakat (PKBM) Pelajar Institut Perguruan Dato’ Razali Ismail (IPGDRI) di Kampung Bukit Wan Batu Rakit baru-baru ini.

Hadir sama Pensyarah Penasihat PKBM, Ustaz Azlan Jaafar; Pengarah PKBM, Encik Ahmad Fahmi Abdul Malik dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) Bukit Wan, Haji Chek Harun ismail serta 40 orang pelatih IPGDRI yang menyertai program itu.

YB Haji Khazan meminta pelatih mengambil kesempatan bergaul dan memahami cara kehidupan orang kampung kerana suatu hari mereka akan menjadi sebahagian daripada masyarakat di pendalaman.

“Pengalaman boleh mendidik seseorang itu menjadi seorang yang lebih terbuka dan positif terhadap persekitaran di mana sahaja mereka berada,” katanya.

Katanya, seorang pendidik yang berjaya adalah mereka mampu meletakkan dirinya menjadi sebahagian daripada masyarakat dan pelajar tempat ia bekerja serta jiran disekelilingnya sebagai sebahagian daripada keluarganya.

Program PKBM berlangsung sehari disertai 40 orang pelatih IPGDRI tahun dua itu dipenuhi dengan aktiviti kemasyarakatan termasuk gotong royong bersih kawasan masjid, longkang, taman dan jalan utama serta menanam pokok yang diakhiri jamuan makan tengahari bersama penduduk kampung.