Halaman

13 March 2013

BN Terengganu mampu menang besar

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dijangka berupaya memperoleh kemenangan mudah pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) berikutan kini pelbagai isu besar terbongkar dan melanda parti pembangkang.

 Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) Marang, Dato’ Abdul Rahman Bakar berkata, antara isu besar yang dicetus pembangkang yang akan memakan dirinya sendiri ialah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

 "Ramai orang mendakwa PRU-13 kali ini merupakan ibu segala PRU yang kritikal kepada BN.

Namun dengan segala macam isu besar yang dicetus pemimpin pembangkang, sudah pasti PRU kali ini merupakan pilihan raya paling mudah bagi BN.

"Kita sebagai umat Islam, sudah tentu tidak boleh berkongsi kalimah Allah dengan agama dan bangsa lain kerana ia hak eksklusif orang Islam," katanya pada satu majlis di Marang, baru-baru ini.

 Dato’ Abdul Rahman yang juga dikenali sebagai 'The Giant Killer' selepas mengalahkan Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada PRU 2008 berkata, isu penggunaan kalimah Allah sama seperti isu amanat Abdul Hadi yang dikeluarkan pada 1981 dulu yang akan memakan dirinya sendiri.

 Katanya, lain-lain isu yang akan melemahkan pembangkang termasuk pemberian Bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana pembangkang menyifatkannya sebagai pemberian makanan kepada lembu atau ayam selain pakatannya dengan DAP dan PKR.

 Sementara itu Dato’ Abdul Rahman berkata, di Terengganu, dia yakin BN mampu memenangi kesemua lapan kerusi parlimen di negeri ini dengan BN mampu memenangi 29 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri.