Halaman

10 March 2013

JANJI DITEPATI- LADANG GEMILANG 2

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Usaha Pembangunan di Kampung Ladang yang membabitkan beberapa buah kampung sekitar yang sekian lama terpinggir dalam bandar Kuala Terengganu adalah usaha yang amat positif.

Kalau dibiarkan kuasa pasaran menentukan dengan pembangunan hartanah dijalankan oleh swasta, penduduk di situ yang kebanyakannya kaum bumiputera, tidak mungkin mampu untuk membeli hartanah atau unit-unit rumah yang pasti tinggi harganya.

Begitu juga keadaan perkampungan itu yang tidak terurus susun aturnya, sistem perparitannya dan rumah-rumah usang dan suasana yang mencacatkan pemandangan tentulah membawa suatu corak kehidupan yang tidak selesa dan mendatangkan pelbagai masalah sosial.

Kita tidak mahu aset-aset bumiputera terlepas begitu sahaja dan mereka kemudian terpinggir, apatalah lagi kebanyakkannya merupakan golongan yang berpendapatan rendah.

Lantaran itulah Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Haji Ahmad Said sanggup berbelanja berjuta-juta ringgit demi membela nasib masa depan bumiputera di Kampung Ladang dan sekitarnya.

Kita perlu sedar bahawa keluarga terus berkembang dan kadang-kadang terpaksa hidup berasak-asak dalam rumah membabitkan beberapa keluarga.

Oleh itu kerajaan mengambil daya usaha membangunkan Kampung Ladang dan sekitarnya serta membina pangsapuri untuk menempatkan mereka dengan lebih selesa.

Langkah pertama ialah dengan membina pangsapuri ‘transit’ untuk menempatkan dulu mereka yang terbabit. Pangsapuri Ladang Gemilang 1 ini dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air- amat selesa sekali berbanding dengan kehidupan sebelumnya di perkampungan yang padat dan tidak bersistem.

Kesemua 192 orang telah mula menduduki pangsapuri transit sejak dua tahun yang lalu. Kemudahan surau juga diadakan untuk menampung 200 jemaah pada satu satu masa.

Perlu difahami, untuk Pangsapuri Ladang Gemilang 1 ini adalah ‘transit’ dan mereka tinggal sementara secara menyewa terlebih dahulu di sini sebelum berpindah ke Pangsapuri Ladang Gemilang 2.

Sewa bulanan lebih kurang RM300 sahaja di kediaman yang begitu selesa ini. Ia merupakan suatu nikmat kalau hendak di bandingkan unit-unit rumah rumah seumpamanya di sekitar bandar ini antara sewanya mencecah RM700 hingga RM800 sebulan.

Janji ditepati, pembinaan pangsapuri Ladang Gemilang 2 pula telah menjadi kenyataan, manaka pangsapuri Ladang Tok Pelam 30 tingkat sedang dalam pembinaan. Bagi pangsapuri Ladang Gemilang 2, kerajaan memberikan subsidi 50 peratus bagi rumah kos rendah.

Ia adalah suatu bukti menunjukkan kerajaan amat cakna rakyat sehingga sanggup membiayai separuh dari kos tiap-tiap unit rumah berkenaan. Inilah kerajaan dan pimpinan yang amat memahami kehidupan dan denyut nadi rakyatnya, amat sukar ditemui di negara lain keadaan seperti ini.

Kira-kira sebulan yang lalu, beberapa keluarga dari Kampung Tanjung Kapor yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi projek pembesaran jalan di kawasan berkenaan telah menerima kunci Pangsapuri Ladang Gemilang 2.

Pangsapuri Ladang Gemilang 2, setinggi 17 tingkat termasuk empat tingkat pertama khusus untuk parkir kereta dan selebihmya adalah 192 unit rumah.

Kini pangsapuri itu telah dihuni oleh 170 keluarga. Menteri Besar yang membuat penyerahan kunci berkenaan baru-baru ini, mengingatkan semua penerima agar bersyukur.

Kerajaan, katanya sentiasa mendahulukan rakyat dalam sebarang usaha pembangunan. Oleh itu, rakyat, khususnya penduduk Kampung Ladang dan sekitarnya hendaklah yakin dengan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk mereka dan hendaklah sentiasa bersyukur.

Jangan sekali-kali terpedaya dengan fitnah pihak tertentu yang cuba menindakkan usaha baik kerajaan untuk rakyat.