Halaman

13 March 2013

Tawaran istimewa kepada peminjam YT

Dato' Seri Haji Ahmad Said ditemani Dato' Haji Mazlan Ngah ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman.
Oleh: Suriati Ali

 Lebih 3,000 pelajar yang diberi pinjaman Yayasan Terengganu (YT) layak menikmati potongan 20 peratus jika membayar balik pinjaman itu secara penuh.

 Pada masa yang sama potongan 10 peratus diberi kepada peminjam yang membuat bayaran secara ansuran selama 12 bulan berturut-turut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata, melalui tawaran istimewa itu juga mereka yang disenarai hitam juga layak menikmati tawaran itu yang berkuatkuasa mulai 1 April hingga 31 Disember 2013.

“Peminjam perlu mendapatkan pengesahan baki sebenar hutang masing-masing daripada YT sebelum membuat bayaran.

“Setiap pembayaran boleh dibuat melalui semua saluran yang telah ditetapkan. Penyata bayaran hendaklah dihantar ke YT melalui e-mail atau faksimili, kecuali bayaran secara tunai perlu dibuat di kaunter bayaran YT,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, pendekatan itu mampu menarik minat dan menggalakkan peminjam membayar balik hutang dan baki yang tertunggak.

“Apa yang dilaksanakan ini mengikut kaedah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menawarkan kadar potongan sama,” katanya.

Beliau turut memberitahu kerajaan negeri akan menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada dua keluarga anggota pasukan keselamatan dari negeri ini yang terkorban dalam peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada 21 Mac ini.

 Setiap keluarga anggota yang terkorban layak menerima sumbangan RM50,000 dan diserahkan sendiri oleh Dato’ Seri Ahmad.

Dua anggota keselamatan kelahiran Terengganu yang terkorban dalam insiden itu ialah Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, anggota Komando VAT 69, berasal dari Kampung Kubang Ikan, Jerteh.

 Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Nor Aziah Noor dan dua anak lelaki, Noor Aqmar Amiruddin, 4 dan Noor Muhammad Akil satu tahun.

 Seorang lagi mangsa ialah Allahyarham Superintendan Ibrahim Lebar, 52, anggopta Cawangan Khas Bukit Aman yang berasal dari Jabi, Besut. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosiah Dahlan serta tiga anak berusia 17 hingga 22 tahun.