Halaman

14 March 2013

Kuala Terengganu bakal menjadi bandar ala Dubai

Menteri Besar ketika Majlis Perasmian Pecah Tanah KTCC Mall.
Oleh: Aida Abd Rahman

Pelbagai projek pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) bakal melonjak kedudukan Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air sekaligus muncul bandar ala `mini Dubai’ di Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Komponen projek KTCC melibatkan kawasan muara utara dan muara selatan dengan kos RM7 bilion meliputi pusat gaya hidup bersepadu, pusat komersial serta hab pendidikan dan kesihatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata satu daripada projek komersial berimpak tinggi yang bakal dibangunkan di muara selatan KTCC adalah KTCC Mall Sdn Bhd dengan pelaburan bernilai RM1 bilion.

Lakaran artis KTCC Mall
“KTCC Mall akan disiapkan dalam masa tiga tahun, manakala di muara utara pula memakan masa lima hingga 10 tahun untuk bangunkan seluruh kawasan itu dari sekarang.

“Selain itu, kerja pembinaan `KTCC drawbridge’ (jambatan angkat) yang menyambung muara utara dan selatan ini akan ditender pada Jun, diikuti satu lagi projek pembinaan bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) setinggi 30 tingkat yang juga sudah ditutup tendernya.

“Sementara itu, kita turut melantik pemaju bagi pembinaan hotel dan apartment di kawasan ini, di samping kita turut menguruskan projek pelaburan di muara utara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah KTCC Mall, di tapak projek bersebelahan lorong Hotel Sumai, Kuala Terengganu, hari ini.



“Dengan adanya kemudahan boling dan panggung wayang itu , penduduk sekitar terutama dari Kuala Terengganu tidak lagi perlu ke Kemasek (Mesra Mall, Kemaman). Ini menjadi satu lagi alternatif yang baru untuk pengunjung beriadah bersama keluarga termasuk untuk menyertai permainan boling. Malah, kejohanan (boling) juga boleh dilaksanakan di gelanggang itu nanti tanpa perlu ke (pusat boling) Kuantan.

 “Kewujudan pusat beli-belah yang lebih besar dengan tawaran pelbagai barangan berjenama juga dapat mengelak penduduk daripada ke (pusat beli-belah) Kuala Lumpur lagi selepas ini,” katanya.

KTCC Mall merupakan komponen di bawah projek bersepadu KTCC yang dibangunkan ECER di kawasan pesisir pantai Kuala Terengganu dengan keluasan ruang peruncitan 750,000 kaki persegi, Hotel Novotel dilengkapi 250 bilik penginapan dan dua menara yang menempatkan 250 ruang perniagaan mewah secara keseluruhannya.

Bangunan kompleks beli-belah itu dijangka siap pada suku keempat tahun depan, manakala hotel dan ruang perniagaan mewah dijangka siap 2016.