Halaman

13 March 2013

Anugerah Anjung Ilmu MB pemangkin kejayaan pendidikan

Oleh; Esah Abdullah

Anugerah Anjung Ilmu Menteri Besar julung kali diwujudkan sebagai pemangkin dalam peningkatan pencapaian sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negeri tahun ini.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Zakaria Hussin berkata, tanpa kecaknaan dan komitmen yang tinggi daripada kerajaan tidak mungkin kejayaan dapat diraikan bersama.

“Semua warga pendidik sedang mengalas misi Terengganu Negeri Anjung Ilmu 201052 dan fokuskan hala tuju anak didik kita untuk mengapai kejayaan,” katanya di majlis Apresiasi UPSR dan PMR Terengganu Anjung Ilmu dan Pelancaran Pakej Pentaksiran dan Pecutan Prestasi Pembelajaran Melalui Modular (5P2M) di Wisma Darul Iman.

Teks ucapan beliau di bacakan oleh Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Terengganu (JPN) Haji Mohd Zuber Embong.

Katanya, pelbagai kategori anugerah diberikan kepada sekolah dan PPD termasuk PPD Unggul, PPD Lestari, Sekolah Unggul, Sekolah Anjung Ilmu (capai 20 dan 10 peratus UPSR dan PMR).

Menurutnya, pemilihan bagi semua penganugerahan itu berdasarkan pencapaian peratusan semua A yang memenuhi hasrat kerajaan di bawah gagasan 201052.

“Saya beharap anugerah yang diadakan menjadi daya saing yang sihat antara kita untuk meneruskan usaha bersungguh bagi kecemerlangan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Pada majlis berkenaan 76 buah sekolah seluruh negeri termasuk 21 sekolah menengah dan 55 sekolah rendah telah berjaya mencapai sasaran kerajaan dalam peperiksaan awam di peringkat PMR dan UPSR tahun lalu.

Sekolah Kebangsaan Tapu, Hulu Terengganu telah menerima Anugerah Anjung Ilmu Menteri Besar bagi ketegori UPSR manakala Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud kategori PMR masing-masing menerima wang tunai RM10,000.