Halaman

16 March 2013

Imam tidak dibenarkan berpolitik di masjid

Oleh: Noraini Jusoh

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi, jelas kelihatan semakin rancak parti-parti politik mengadakan ceramah-ceramah untuk menawan hati pengundi tanpa mengira tempat sehinggakan ada antara mereka yang bergelar imam menjadikan masjid tempat berpolitik. 

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Majlis Agama Islam dan Ada Melayu Terengganu (Maidam) Dato’ Haji Rozali Salleh berkata, masjid telah ditetapkan sebagai suatu tempat yang semua umat Islam boleh berkumpul khususnya untuk melakukan ibadah dan perkara-perkara baik dan bukanlah tempat untuk menimbulkan rasa tidak senang hati antara satu sama lain.


"Terdapat dua kategori imam iaitu imam kerajaan yang dibayar gaji dan merupakan kakitangan kerajaan serta imam mukim yang diberi elaun.

"Tugas dan peranan mereka tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan di mana hendaklah menjadi imam dan menyampaikan khutbah yang disediakan dan dibenarkan jabatan dan jika didapati ada yang melanggar peraturan boleh diambil tindakan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada sidang media di Majlis Perasmian Penutup Kem Ibadah Orang Kelainan Upaya (Anggota) Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu, di Hotel Permai, Kuala Terengganu.

Katanya, begitu juga dengan imam yang mengadakan ceramah politik juga akan diambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga kesucian rumah ibadah dan menjadi pengajaran supaya mereka mengubah perangai.

Tegas beliau, unsur-unsur politik kepartian tidak dibenarkan sama sekali dibawa ke atas masjid dan diminta kepimpinan politik mematuhi peraturan tersebut.

"Pihak kami ada menerima aduan mengenai perkara ini dan amaran telah diberikan kepada mereka yang terlibat dan sekiranya masih ingkar tindakan tegas seperti dilucutkan jawatan akan diambil bergantung kepada keputusan jawatankuasa tatatertib,” jelasnya.