Halaman

15 March 2013

Kerajaan hantar satu kontena keropok lekor ke London

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah menghantar kira-kita empat tan (satu kontena) keropok lekor setiap bulan ke London sebagai sajian beberapa restoran di negara itu, sejak Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera berkata, penghantaran bahan berkenaan dibuat melalui Pelabuhan Klang di mana sebelum ini dilakukan melalui kapal terbang dalam kuantiti yang terhad.

“Terdapat 18 buah restoran Malaysia di Kota London menyajikan pelbagai menu termasuk keropok lekor kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival dan Forum Usahawan Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Padang Hiliran semalam.

Hadir sama, Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik; Presiden Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan Pengarah Kanan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Dato’ Dzulkifli Mahmud.

Katanya, penghantaran diurus oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) melalui anak syarikat iaitu Cakna Sdn. Bhd dan pembekal di sana merupakan usahawan rakyat Malaysia berasal dari Kelantan yang menetap di negara berkenaan.

“Setakat ini pasaran keropok lekor sangat menggalakkan dan menjadi kegemaran pengunjung di restoran Malaysia bersama menu lain seperti nasi dagang dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, keropok yang melaui proses pembungkusannya di Lembah Klang itu dijual dengan harga 8 poud (RM40) setiap paket.

Selain itu katanya, dua buah T-Café yang dibuka di Perth Australia yang menjual barangan keluaran tempatan termasuk keropok dan nasi dagang turut mendapat sambutan menggalakkan rakyat di sana.