Halaman

10 March 2013

YPU akan adakan majlis MoA dengan OUM

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan mengadakan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Open University Malaysia (OUM) sempena Perasmian Karnival dan Forum Usahawan 2013 di Dewan Konvensyen, Pusat Dagangan Terengganu, pada 14 Mac ini.

Penolong Pengurus Komunikasi Korporat YPU, Mazubir Ngah berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera bakal menyempurnakan majlis perasmian program tersebut.

Katanya, selain MoA yang bertujuan menjalin kerjasama antara YPU dengan OUM bagi program pendidikan dan latihan keusahawanan, satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi projek Ayamazz Roti Impit antara Koperasi Yayasan Usahawan Terengganu Berhad dengan Jati Bestari Sdn. Bhd turut diadakan.

"Sempena karnival dan forum tersebut juga, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik akan membentangkan kertas kerja yang bertajuk Usaha YPU Dalam Melahirkan Usahawan Berprestasi Tinggi.

"Sementara kertas kerja yang bertajuk Potensi Pasaran Eksport Produk dan Perkhidmatan ke Negara Asean dan Asia Pasifik akan dibentangkan oleh Pengarah Kanan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dato’ Dzulkifli Mahmud,” ujarnya.