Halaman

10 March 2013

Pas hanya jadi tunggangan DAP, PKR

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pas hanya mampu menjadi ‘tunggangan” DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Haji Shamsuddin Sulong, berkata dengan hanya diberi kuota kerusi Parlimen sebanyak 60 kerusi, Pas tidak akan mampu untuk mengetuai kerajaan jika pun Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan.

 “Sebaliknya DAP dan PKR yang akan mengetuai kerajaan PR jika pakatan itu menang PRU13 nanti,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada Program Bina Jati Diri Belia dan NGO anjuran Ukom di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli-ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hadir pada majlis tersebut yang bertujuan memberi penerangan isu-isu semasa kepada golongan belia di negeri ini.



Haji Shamsudin berkata, pada PRU13 parti DAP dan PKR masing-masing akan diagihkan 81 kerusi Parlimen yang membawa maksud mereka akan mendominasi kerajaan PR.

“Mengikut sejarah pilihan raya di negara ini Pas tidak pernah menang lebih daripada 23 kerusi Parlimen. Jadi bagaimana Pas boleh bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri.

“Jika pun PR menang pilihan raya nanti, sudah tentu jawatan tersebut akan diisi sama ada oleh Lim Kiat Siang (dari DAP) atau Anwar Ibrahim (Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim). Jawatan Timbalan Perdana Menteri pun akan diisi oleh sama ada DAP atau PKR,” katanya.



Sehubungan itu, katanya, tidak ada gunanya pengundi memilih calon-calon Pas pada PRU13 kerana Pas tidak akan mampu berbuat apa-apa dalam usahanya melaksanakan Negara Islam, termasuk hudud kerana ia akan mendapat tentangan daripada DAP, lebih-lebih lagi kalimah Allah juga telah dipersetujui untuk digadaikan kepada DAP dalam Bible berbahasa Malaysia.

“Jika pengundi memilih calon-calon Umno yang mewakili Barisan Nasional (BN) sudah tentu syiar Islam akan terus ditingkatkan di negara ini,” katanya.