Hanif di ladang rock melonnya. |
MINAT mendalam dalam bidang pertanian mendorong seorang siswazah dari Kampung Tok Dor, Besut, Terengganu menceburi bidang penanaman rock melon biarpun pada mulanya beliau tidak mempunyai pengalaman langsung dalam bidang penanaman buah itu yang mengunakan teknik fertigasi.
Mohd Hanif Amali, 26 pemegang ijazah dalam Bidang Perikanan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, nekad untuk menyertai projek Usahawantani Siswazah di Pusat Latihan Pengembangan Pertanian (PLPP) Wilayah Timur, Tok Dor dengan meninggalkan projek pertamanya mengusahakan ternakan air tawar di kampung halamannya di Perak.
"Selepas tamat belajar di UMT, saya pulang ke kampung di Teluk Intan, Perak dengan mengusahakan ternakaan air tawar tetapi selepas berkahwin saya mengambil keputusan untuk ke Terengganu mengikuti isteri saya bekerja di Terengganu, dia juga orang Terengganu dengan membuka sebuah kedai di Kampung Tok Dor, Besut.
"Semasa berada di Kampung Tok Dor inilah saya mendapat tahu tentang projek Usahawantani Siswazah bawah Jabatan Pertanian yang diadakan di PLPP di sini.
"Saya begitu berminat terus memohon untuk menyertainya dan saya bersyukur kerana terpilih dan saya mula mengusahakan projek penanaman rock melon ini pada Jun 2011 lalu," katanya yang juga suami kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO Setiu, Norfuzilawati Yusoof.
Mohd Hanif...minat pertanian |
"Mula-mula agak kekok juga kerana banyak perkara baru yang saya pelajari kerana penanaman pokok ini tidak mengunakan tanah tetapi ianya mengunakan habuk kelapa tetapi lama-lama ia menjadi mudah malah teknik penanaman ini jauh lebih mudah dari penanaman biasa di atas tanah.
"Setiap peserta mendapat empat bangsal penanaman yang boleh muat kira-kira 6,000 pokok semusim. Seramai lapan orang terlibat dengan Usahawantani Siswazah ini di sini," katanya.
Menurut Hanif, dia lebih bersemangat apabila pada musim pertama pengeluaran, projek yang disertainya itu membuahkan hasil yang begitu memuaskan.
"Saya tidak mempunyai banyak masalah dengan penanaman buah 'rock melon' ini. Tanaman ini dilakukan sebanyak tiga kali dalam setahun iaitu pada Januari hingga Mac, Mei hingga Ogos dan bulan September hingga Disember. Pemasaran dilakukan oleh Jabatan Pertanian sendiri.
"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan khususnya Jabatan Pertanian kerana banyak membantu saya menjayakan projek ini." katanya yang kini memperolehi pendapatan bersih lebih RM3,000 sebulan itu.
Lazat...buah rock melon yang masak. |
Segar..buah yang belum masak. |
Hijau..ladang fertigasi Mohd Hanif. |
Bantu...Nur Fuzilawati turut membantu. |