Halaman

01 December 2013

KBS harap Terengganu terus taja LTdL


Kementerian Belia dan Sukan berharap kerajaan negeri Terengganu dapat terus bersama dalam penajaan kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Menterinya, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata bagaimanapun Terengganu perlu memberi jawapan muktamad dalam masa terdekat sama ada mahu menarik diri atau meneruskan tajaan mereka, bagi menentukan laluan kejohanan itu nanti.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said telah menyatakan hasrat bahawa kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tajaan RM2 juta bagi kejohanan itu tahun depan berikutan kegagalan negeri mendapatkan hak penganjuran beberapa acara sukan seperti menjadi venue kepada acara lumba basikal Sukan SEA 2017 dan Piala Monsun tahun depan.

YB Khairy berkata jika Terengganu tidak mahu lagi terlibat dalam LTdL, pihaknya terpaksa menamatkan laluan acara itu yang dijangka di Kuala Lumpur.

"Setakat ini kita ada dua alternatif. Satu yang tamat di Terengganu dan satu lagi kalau Terengganu tak nak terlibat, kita terpaksalah tamatkan di Kuala Lumpur. Jadi LTdL kena lalu dari Johor, Pahang dan kena patah balik ke Lembah Klang.

 "Bagi saya, kita (KBS) tidak ada masalah dari segi laluan tetapi pilihan saya adalah lebih baik laluan Terengganu dikekalkan sebagai vanue terakhir acara itu," katanya kepada pemberita pada majlis penutup Piala Monsun di Pulau Duyong di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut YB Khairy, Terengganu telah banyak melahirkan jaguh berbakat besar dalam arena berbasikal dan pihaknya akan memberi pertimbangan terbaik untuk negeri itu menjadi lokasi venue sukan berbasikal pada temasya Sukan SEA 2017 sekiranya Malaysia dipilih sebagai tuan rumah.