Halaman

04 December 2013

Terkini banjir di Setiu (4/12/13): 26 keluarga berpindah.

ASYIK..sekumpulan remaja sedang asyik bermain air yang melintasi sebatang jalan di Kampung Sungai Bari, Langkap, Setiu petang tadi.

Air mulai naik di kampung itu kira-kira pukul 1 tengahari tadi dan sehingga lewat petang ini ia semakin surut sedikit. Bagaimanapun, hujan lebat mulai turun di kawasan Langkap lewat petang ini yang boleh membawa kenaikan semula paras air pada malam nanti.

Sementara itu, Tinjauan Teganukita di beberapa kampung di daerah Setiu petang tadi mendapati keadaan banjir tidak banyak berubah bagaimanapun pada petang tadi ada beberapa kawasan rendah mula dinaiki air antaranya di Kampung Buluh, Kampung Tasek dan Gong Terap tetapi tidak membimbangkan kerana ia naik secara perlahan-perlahan.

Beberapa jalan kampung yang ditutup akibat banjir pagi tadi, masih belum boleh dilalui oleh kenderaan ringan antaranya ialah Jalan Kampung Buluh-Kampung Besut dan Jalan Sungai Tong Pelong melalui Pengkalan Merbau manakala jalan utama ke Kampung Bukit dan Pak Ba juga belum boleh dilalui sehingga lewat petang tadi.

Manakala jalan-jalan utama di daerah ini termasuklah jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu yang melalui Bandar Permaisuri masih boleh dilalui semua kenderaan.

Dalam pada itu, Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu ketika dihubungi memberitahu sehingga jam 6 petang tadi, sebuah pusat pemindahan di buka di Setiu iaitu di Tadika Taman Desa Jaya, Sungai Tong iaitu seramai 26 keluarga berpindah ke situ.

Antara yang terbabit dengan perpindahan banjir itu ialah penduduk dari Kampung Paloh Licung dan Kampung Desa Jaya.- oleh: Aminudin Ismail.