Halaman

05 December 2013

TISB minta pengurus anak syarikat bersikap tegas

Oleh: Suriati Ali

Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB), syarikat pelaburan milik penuh kerajaan negeri, meminta mana-mana pengurus syarikat induk, anak-anak syarikat di bawah kumpulan itu bersikap tegas dalam mentadbir urus agensi dan bijak mengawal selia kewangan.

 Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Audit Kumpulan TISB, Dato’ Wan Jaafar Wan Mahamud, berkata pengurus anak-anak syarikat sewajarnya sentiasa memantau setiap tugasan dilaksanakan kakitangan, bagi mengelak sikap tidak jujur dan kurang amanah.

 Katanya, sistem dalam sesebuah organisasi terdiri daripada kaedah, peraturan, proses dan prosedur adalah untuk memastikan bahawa fungsi organisasi berjalan lancar untuk mencapai objektifnya. “Kesan boleh menjadi amat buruk jika terdapat kelemahan dalam pengurusan kewangan.

“Pengurusan kewangan yang lemah akan menyebabkan pelbagai kesan negatif seperti pembayaran tidak betul, penyelewengan, kerja atau bekalan tidak mengikut spesifikasi, berkualiti rendah atau tidak sesuai, kelewatan tidak munasabah, pembaziran, kelemahan dalam pengurusan produk dan aset,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar `Internal Audit Colloqium 2013’ di Bangunan TISB, Kawasan PerindustrianChendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Seminar berkenaan dihadiri 50 peserta yang terdiri daripada Jururaudit Dalaman merangkumi syarikat di bawah kumpulan TISB dan pelbagai agensi Kerajaan Terengganu.

Merupakan siri kedua dianjurkan oleh Jabatan Audit Dalaman Kumpulan TISB dengan objektif utama meningkatkan peranan Juruaudit Dalaman seiring dengan perubahan semasa dalam melaksanakan perkhidmatan pengauditan dan perundingan secara profesional dan berkualiti.

 Selain itu, seminar ini juga merupakan platform untuk perkongsian idea dan maklumat bagi meningkatkan hubungan kerjasama di antara syarikat induk, anak-anak syarikat di bawah kumpulan dan juga jabatan serta agensi kerajaan berkaitan.

 Dato’ Wan Jaafar turut memberitahu, ketua jabatan atau pengurus perlu prihatin terhadap sikap kakitangan mereka, supaya tidak berkelakuan seolah-olah dana itu hak mereka.

“ Apabila entiti membuat sesuatu keputusan pelaburan, ia mendedahkan dirinya kepada beberapa risiko kewangan. “Risiko tersebut bergantung kepada jenis kewangan, termasuk berlakunya inflasi yang tinggi, turun naik dalam pasaran modal, kemelesetan dan kebankrapan,” katanya.

 Katanya, pengalaman membuktikan tiada integriti, kejujuran, profesionalisme, kawalan yang lemah dan risiko andaian tidak sihat memang resipi pasti untuk peruntukan sub-sumber yang optimum dan sub-prestasi ekonomi.

“Nilai-nilai seperti kejujuran, keadilan dan integriti adalah sesuatu yang peribadi. Ia amat individu yang mesti membangunkan mereka,” katanya.