Halaman

03 December 2013

Skuad Mediator Komuniti (MK) Terengganu sedia bantu individu bermasalah


Skuad Mediator Komuniti Terengganu bersama pegawai JPNIN

Oleh: Mohammad Ishak

Skuad Mediator Komuniti dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu sedia turun padang bagi menyelesai pelbagai konflik yang dihadapi individu dengan perkhidmatan diberikan secara percuma.

Kumpulan Mediator yang dianggotai 16 ahli daripada pegawai JPNIN dan pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berkenaan yang mempunyai tauliah akan digerakkan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi orang ramai.

Pengarah JPNIN, Burhanuddin Daud berkata, skuad terbabit yang dilatih khas oleh jabatan berkenaan mampu menghadapi sebarang bentuk penyelesaian yang dihadapi oleh orang ramai.

Katanya, masyarakat negeri ini sebenarnya belum mengenali tugas dan tanggungjawab yang dilakukan oleh Mediator kerana belum mendapat pendedahan secara menyeluruh.

“Jabatan sedang berusaha meningkatkan lagi peranan skuad berkenaan membabitkan kerjasama beberapa agensi berkaitan dalam usaha membantu individu yang bermasalah dalam pertikaian konflik,” kata.

Beliau berkata demikian ketika menutup Program Case Conferencing Mediator Komuniti Peringkat Negeri Terengganu anjuran jabatan berkenaan kelmarin.

Menurutnya, mulai tahun hadapan JPNIN akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi berkaitan untuk membakitkan kesedaran serta keyakinan orang ramai terhadap peranan Mediator Komuniti.