Halaman

06 December 2013

2 Jalan utama di Chukai masih ditutup (6.12.13)

Keadaan banjir di Chukai Kemaman yang dirakamkan melalui udara semalam.
Oleh: Aminudin Ismail
Gambar oleh Zulkipli Putra

KUALA TERENGGANU: Dua jalan utama di Chukai, Kemaman iaitu Jalan Chukai ke Kuantan melalui Geliga dan Chukai ke Air Putih masih ditutup kepada semua kenderaan berikutan masih terdapat air melimpahi kedua-dua jalan itu, pagi ini. (6.12.13)

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir IPD Kemaman, ketika dihubungi memberitahu kedua-dua jalan yang ditutup sejak banjir besar melanda bandar itu, kelmarin, masih bertahan dan tidak boleh dilalui sehingga pagi ini.

"Terdapat beberapa tempat di mana air melintas jalan di kedua jalan utama itu. Semua kenderaan yang hendak ke Kuantan atau Kuala Lumpur boleh melalui jalan Jerangau-Jabor iaitu melalui Beris Meraga-Seri Bandi-Padang Kubu," katanya.

Dalam pada itu, beberapa penduduk di beberapa taman perumahan dan kampung di Jalan Chukai- Air Putih, belum dapat pulang ke rumah masing-masing pagi ini berikutan masih terdapat air di kawasan rumah mereka.

"Saya sudah tiga hari tinggal di tempat perpindahan ini, nak balik rumah masih belum boleh kerana air masih dalam. Saya berharap ia akan surut dalam masa terdekat ini bagi membolehkan saya pulang ke rumah dan membersih barangan di dalam," kata seorang penduduk, Suffian Ismail, 42, katanya ketika dihubungi Teganukita.