Halaman

04 December 2013

FRIM anjur bengkel teknologi rekabentuk inovatif

Oleh: Noraini Jusoh

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menganjurkan Bengkel Teknologi Penghasilan Rekabentuk Inovatif Secara Bersepadu di negeri ini selama dua hari bermula 3 Disember.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Teknikal FRIM, Dr Khali Aziz Hamzah berkata, bengkel itu bertujuan mengumpul pakar-pakar dari FRIM dan agensi lain bagi bekerjasama dalam berkongsi pengetahuan dan pengalaman terutama dalam bidang berasaskan inovasi dan kreativiti.

“Ia juga salah satu usaha FRIM untuk mempromosi rekabentuk kreatif dan inovasi khususnya dalam penghasilan kerja-kerja penyelidikan, pengurusan, pendidikan, senibina, hiasan dalaman, lanskap, periklanan, penerbitan, percetakan, teknologi maklumat dan lain-lain secara bersepadu.

“Sebanyak 19 kertas kerja telah dibentangkan oleh 19 penceramah termasuk pakar, penyelidik, ahli akademik serta wakil-wakil universiti, agensi dan badan berkanun mengenai pelbagai topik yang menarik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup bengkel berkenaan, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Dr Khali, seramai 80 peserta mewakili pelbagai agensi kerajaan, universiti dan badan korporat menyertai bengkel yang julung kali diadakan itu.

Tambah beliau, kepelbagaian sejarah serta budaya termasuk kaya dengan seni ukuran, senibina, seni kraftangan tradisional Melayu menjadi sebab utama Terengganu dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran bengkel yang bakal dijadikan program tahunan oleh FRIM selepas ini.

Katanya, penganjuran bengkel terbabit telah mendapat kerjasama yang cukup baik dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta termasuk jabatan dan agensi kerajan yang lain, syarikat swasta dan korporat di negeri ini.