Halaman

03 December 2013

Mat Nawi bantu bangunkan Tasik Tok Lebai.

Mat Nawi..disenangi penduduk.
Oleh Aminudin Ismail.

SESUATU yang mengembirakan seseorang Pengerusi Jawatankuasa Kamajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah apabila sesuatu yang dipohon dari pihak atasan mendapat perhatian dan kelulusan antaranya ialah pembinaan bangunan dan jalanraya di kawasan tadbiran mereka.

Bagi Mat Nawi Zakaria yang memegang jawatan Pengerusi JKKK Kampung Tasik Tok Lebai, Tempinis, Dun Jabi, Besut sejak 2006, apa yang membanggakan beliau sepanjang memegang jawatan itu ialah beliau berjaya berusaha membantu mendapatkan satu lebuhraya yang menghubungkan Kampung Tempinis ke Kampung Kerandang.

“Ini adalah antara usaha JKKK kawasan ini. Lebuh raya ini memendekan masa perjalanan penduduk sekitar Tempinis ini untuk ke Bandar Jerteh iaitu sekitar kira-kira 20 minit berbanding dahulu melebihi setengah jam.

“Lain-lain yang saya dan JKKK usahakan di kampung ini ialah membina gelanggang futsal, pembinaan bangunan baru SK Tempinis, mendapatkan rumah PPRT untuk penduduk kurang berkemampuan  dan membaikpulih beberapa buah rumah penduduk yang uzur,” katanya.

Mat Nawi, 52, yang sentiasa rapat dan mesra dengan penduduk kampungnya itu, usaha lain beliau dan rakan-rakan JKKK lain ialah membawa Perdana Menteri ke satu majlis jamuan hari raya dan juga membawa Menteri Besar Terengganu untuk Program Penyerahan Anak Kelapa Sawit kepada penduduk.

Rapat...bersama seorang penduduk kampungnya.
“Kami juga sedang berusaha mendapatkan kelulusan untuk pembinaan sebuah masjid baru bagi menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat untuk menunaikan solat jumaat dan dua hari raya pada masa depan,” katanya.

Mohd Nawi yang terbabit dengan UMNO sejak lebih 30 tahun itu mengharapkan penduduk di kawasan tadbiranya terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional supaya segala perancangan pembangunan di kawasan itu akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional kerana banyak membantu penduduk di kawasan ini. Terima kasih juga kepada penduduk yang sentiasa memberi kerjasama kepada JKKK dalam mentadbir kampung ini serta sentiasalah  memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional.” katanya.