Tutup..Pusat perpindahan Tadika Desa Jaya. |
BANDAR PERMAISURI: Seramai kira-kira 26 keluarga dari Kampung Paloh Licung dan Kampung Desa Jaya yang berpindah ke Tadika Desa Jaya kelmarin selepas rumah mereka dinaiki air, pulang ke rumah masing-masing, malam semalam.
Jurucakap Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis (IPD)Setiu ketika dihubungi berkata, mangsa banjir itu pulang ke rumah masing-masing berperingkat-peringkat dan paling akhir ialah kira-kira jam 9 malam semalam.
Sementara itu tinjauan Teganukita di beberapa tempat pagi ini mendapati, di Jalan Kampung Buluh ke Hulu Seladang mendapati beberapa kenderaan sudah boleh melalui kawasan yang dinaiki air iaitu berhampiran sempadan Kampung Bukit Pepari-Kampung Besut walaupun masih ada sedikit air di atas jalan.
Manakala Jalan Bukit Nenas ke Pak Ba melalui Ladang Fikri masih tidak dapat dilalui semua kenderaan kerana masih terdapat air melimpahi jalan berhampiran rumah pekerja Ladang Fikri.
Dalam pada itu, pada keseluruhannya, keadaan banjir di Setiu bertambah baik, beberapa jalan yang ditutup dibuka semula, tiada pusat perpindahan di buka dan beberapa kampung yang sebelum ini ditenggelami air pulih seperti biasa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor ketika dihubungi berkata, beliau bersyukur kerana banjir yang melanda langkap tidak berterusan setakat ini dan penduduk yang berpindah sudah pulang ke rumah masing-masing.
"Saya berterima kasih kepada semua yang terbabit dengan banjir di Dun Langkap ini, termasuklah anggota keselamatan dan Jabatan kebajikan (JKM)," katanya.