Halaman

03 December 2013

500 kampit beras untuk mangsa berpindah di Setiu.

Emilia..JKM bersedia.
Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Sebanyak 500 kampit beras dan pelbagai keperluan makanan dan barangan lain disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat perpindahan banjir di daerah ini pada musim banjir tahun ini.

Pagawai Kebajikan Masyarakat Daerah Setiu, Emilia Sumiyati Embong, berkata pihaknya sudahpun mengagihkan bekalan beras itu ke kawasan yang sering berlaku banjir dan akan diagihkan ke pusat-pusat perpindahan apabila berlaku banjir.

“Sebanyak 500 kampit beras diperuntukan sebagai permulaan untuk diagihkan kepada pusat-pusat pemindahan di seluruh daerah.

"Selain beras, kita juga menyediakan pelbagai makanan asas yang lain antaranya gula, susu, tea, kopi, sardin dan minyak masak.

“Barangan pula antaranya ialah selimut, cadar, bantal, kain batik, kain pelikat, ubat gigi, sabun, tuala wanita, lampin pakai buang dan lain-lain. Barangan itu kini ditempatkan di 26 pengkalan hadapan di seluruh daerah,” katanya.

Emilia berkata, JKM Setiu juga akan mengerakan seramai 26 pegawai dan kakitanganya untuk bertugas di pusat-pusat perpindahan musim banjir tahun ini.

“Kita juga ada menyediakan beberapa kaunselor untuk memberi motivasi dan semangat kepada mangsa banjir yang mungkin mengalami trauma akibat kehilangan harta benda akibat banjir.

"Selain itu kira-kira 30 anggota sukarela JKM akan digerakkan pada musim banjir ini bagi membantu kakitangan JKM dalam menguruskan mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Emilia mengharapkan kesemua mangsa banjir yang berpindah supaya mendaftar di pusat-pusat pemindahan bagi memudahkan pihaknya menyalurkan pelbagai bentuk bantuan termasuklah barangan keperluan harian ketika berada di pusat perpindahan berkenaan.