Halaman

05 December 2013

Terkini Banjir Di Setiu: Mangsa pindah berpuashati.

Sebahagian mangsa pindah bergambar di Tadika Desa Jaya.
Teks dan Gambar Aminudin Ismail.

SUNGAI TONG: Kira-kira 80 penduduk dari Kampung Desa Jaya dan Kampung Paloh Licong, di sini yang berpindah ke Tadika Desa Jaya akibat banjir melanda kampung mereka, berpuashati dengan segala peruntukan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dearah Setiu. 

Rata-rata mangsa pindah yang ditemui di pusat perpindahan itu pagi ini, tidak mempunyai masalah mengenai keperluan barangan dan makanan yang disedikan JKM.

Seorang mangsa pindah, Dzaidiah Abdullah, 56, dari Kampung Paloh Licong, berkata dia yang pindah bersama lima ahli keluarganya kira-kira jam 8 malam semalam berterima kasih kepada JKM dan kerajaan kerana memberi peruntukan keperluan mangsa banjir yang mencukupi.

"Sampai di sini kira-kira pukul 8 malam semalam. Sampai tu semua sudah tersedia, Mak Cik hanya bawa bekalan pakaian keluarga sahaja. Tikar Bantal, berus gigi, sabun mandi dan barangan makanan semua sudah ada malah pada malam itu juga kami semua diberi nasi bungkus. Terima kasihlah pada JKM," katanya.

Seorang lagi mangsa pindah, Zah Awang Cik dari Kampung Paloh Licong berkata, dia dan semua yang berpindah dapat tidur lena pada malam itu walaupun tidak sebagaimana tidur di rumah. "

"Semua ok belaka, makan dan keperluan lain mencukupi. Tidurpun lena belaka. Terima kasihlah kepada Pejabat Kebajikan (JKM) dan kerajaan Malaysia atas segala bantuan ini," katanya yang berpindah bersama seorang lagi anaknya kira-kira jam enam petang kelmarin.

Berikutan keadaan cuaca sekarang di mana hujan sudahpun berhenti ketika ini, berkemungkinan mangsa-mangsa pindah ini boleh pulang ke rumah masing-masing petang ini.

Bertahan..keadaan air di sebatang jalan di Bukit Nenas.
Sementara itu, tinjauan Teganukita di beberapa kampung sekitar Langkap, mendapati ada beberapa kampung yang airnya bertahan selepas naik malam semalam.

Terdapat beberapa kawasan yang menunjukan penurunan paras air termasuklah Kampung Sungai Bari yang sudahpun surut sepenuhnya.

Bagaimanpun, Jalan utama ke Kampung Bukit, Pak Ba dan ke Pelong di Kampung Pengkalan Merbau masih belum boleh dilalui kenderaan.