Halaman

05 December 2013

Banjir: Ladang Sentosa terputus hubungan.

Kandas..sebuah kenderaan tidak dapat memasuki Ladang Sentosa.
Teks dan gambar Aminudin Ismail.

FELDA BELARA: Kira-kira 38 keluarga termasuk tiga keluarga kakitangan Ladang Sentosa, dekat sini terputus hubungan apabila kedua-dua jalan yang menghubungkan kampung mereka dari luar dinaiki air sedalam kira-kira satu meter sejak petang semalam.

Tinjauan Teganukita pagi ini mendapati, di kilometer 0.5 jalan dari luar ke perkampungan ladang di bawah kelolaan Ladang Fikri dan milik TDM Berhad itu mendapati paras air masih bertahan.

Pengurus Ladang Fikri, Mohd Fauzi Mahamud, berkata kesemua yang tinggal di ladang itu ialah pekerja ladang dan kakitangan ladang Fikri Sentosa termasuklah seorang pegawai.

Mohd Fauzi..Pengurus Ladang Fikri.
"Semua yang tinggal di situ sudah tidak dapat keluar masuk sejak enam petang semalam lagi. Terdapat dua jalan yang menghubungkan ladang itu dengan luar iaitu Jalan keluar ke Jalan Kuala Terengganu ke Kota Baharu berhampiran kilang bata manakala satu lagi ialah yang keluar melalui Kampung Las ke Manir.

"Kedua-dua jalan itu tidak dapat dilalui dan segala bentuk bantuan dihantar dengan menaiki bot. Biasanya keadaan air di atas jalan itu memakan masa beberapa hari walaupun hujan sudah berhenti," katanya.

Mohd Fauzi menasihati kakitangannya dan buruh ladang yang tinggal di kawasan itu supaya bersabar dan sehingga kini bantuan makanan dan keperluan lain sudahpun dihantar JKM, katanya.