Halaman

04 December 2013

4,437 mangsa di 57 pusat pemindahan di tiga daerah

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Nurul Aziela

Jumlah mangsa yang dipindahkan di seluruh Terengganu selepas hujan berterusan di beberapa kawasan sejak tiga hari lalu meningkat mendadak kepada 4,437 mangsa sehingga pagi ini.

Mangsa banjir ditempatkan di pusat permindahan banjir terdekat di daerah Kemaman.

Skuad Sayang turun padang membantu mangsa banjir di Kemaman.

Kesemua mangsa dari 1,117 keluarga ditempatkan di 57 pusat pemindahan di Kemaman (34), Dungun (7) dan Hulu Terengganu (16).

Menurut Portal Kenyataan Banjir Negeri Terengganu yang disediakan Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu, jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan terus meningkat berikutan hujan yang berterusan dan kadangkala lebat di beberapa kawasan khususnya di Kemaman dan Dungun (peringkat jingga).
Mangsa banjir bergotong-royong memasak hidangan harian.

Hakisan akibat air pasang dan ombak besar.
“Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana yang berlaku di dua daerah itu sejak beberapa hari lalu berterusan hingga hari ini, sekali gus menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah.

“Bagaimanapun, daerah Setiu, Besut dan Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang (peringkat kuning) sehingga hari ini. Pun begitu, seramai 861 mangsa sudah dipindahkan di Hulu Terengganu membabitkan 252 keluarga,” katanya.

Sehingga 9 pagi ini mangsa yang dipindahkan di Hulu Terengganu melibatkan Balai Raya Kampung Cheting (41); Balai Raya Kampung Pelandan (15); Surau PPSK Kg menerong (197); Balai Raya Paya Besar (75); Masjid Kampung Pengkalan Ajal (183) dan Bangunan NGO Pengkalan Ajal (44).

Lain-lain Balai Raya Kemat (39); Balai Raya Kuala Menjing (10); Balai Raya Kg Tapah (8); Surau Kg Durian Kassim (9); PJBT Felcra Pasir Pelata (14); Masjid Kg Bukit Gemuruh (7) dan Masjid Kg Kua (59); Dewan SMK Batu 24 Bukit Tok Bat (18); Masjid Kg Peneh (129) dan Surau Tok Lawit (13).