Halaman

03 December 2013

Hanya 106 hotel di Terengganu berdaftar

Oleh: Noraini Jusoh

Hanya 106 buah hotel dengan kapasiti 5,576 buah bilik di Terengganu berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu.

Pengarahnya, Mohd Sabri Zakaria berkata, kebanyakan hotel tidak layak berdaftar dengan kementerian kerana mereka tidak mendapat lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan syarat untuk berdaftar adalah pengusaha mesti memiliki lesen terlebih dahulu.

"Yang menjadi masalahnya, ada hotel di Terengganu tidak mempunyai lesen disebabkan masalah seperti tidak mendapat sijil perakuan kelayakan menduduki (CF) dari pihak bomba kerana didapati tidak selamat dan mempunyai masalah tanah," katanya.

Menurutnya, ada sesetengah hotel yang telah beroperasi antara tiga hingga empat tahun, namun masih tidak mempunyai CF.

"Pihak kami turut menghantar notis kepada PBT pada pertengahan tahun ini, mengarahkan sebanyak empat hotel yang dikategorikan sebagai hotel bajet supaya ditutup kerana didapati tidak selamat dan tidak layak untuk beroperasi," katanya.

Beliau berkata, kedegilan pengusaha hotel untuk mendapatkan lesen dan berdaftar dengan kementerian juga akan turut menjejaskan kualiti perkhidmatan pelancongan di negeri ini.

Justeru, beliau menggesa pemilik hotel mengambil tindakan segera memastikan hotel milik mereka didaftarkan dan PBT perlu mengambil tindakan tegas memastikan pemilik hotel mempunyai lesen.

"Ini bagi memudahkan pihak kami menjalankan operasi mengenai kebersihan serta keselamatan bagi menjaga reputasi pelancongan negeri ini.

"Di pusat peranginan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian, boleh dikatakan hampir 90 peratus hotel dan resort mempunyai lesen dan berdaftar dengan kementerian," katanya.

Menurutnya, kementerian amat serius dalam memastikan hotel di negeri ini berkualiti dan menyediakan servis terbaik kepada pelancong.