Halaman

02 December 2013

Pelajar Mesir kembali sambung pengajian

Oleh: Suriati Ali

Sebahagian besar daripada 221 penuntut tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang belajar di Mesir, kini kembali meneruskan pengajian masing-masing di negara itu.

Mereka yang kebanyakan belajar di Universiti Al-Azhar, Iskandariah dan Mansoura terpaksa pulang ke tanah air berikutan bimbang berlaku perkara tidak diingini akibat pergolakan di negara itu, pada Julai lalu.

Pengarah YT, Encik Azmi Razik, berkata berdasarkan jumlah itu, kurang daripada 10 pelajar tidak mahu meneruskan pengajian di negara Timur Tengah tersebut dan mengambil keputusan menyambung pelajaran di beberapa universiti tempatan.

Katanya, pihaknya tidak memaksa pelajar tersebut, jika dia mahu menyambung pelajaran di universiti terdahulu atau sebaliknya, YT tetap membiayai biasiswa mengikut kadar tertentu.

“ Walaupun keadaan Mesir agak terkawal, tetapi YT mengambil langkah mengurangkan pelajar belajar di Mesir dan hanya menaja pelajar sedia ada.

“Tumpuan kini adalah untuk jurusan perubatan di Universiti Mansoura yang akan menamatkan pengajian mereka,” katanya.