Halaman
04 December 2013
Daerah Besut belum dilanda banjir
Penempatan rumah PPRT di Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut.
Oleh: Mohammad Ishak
Daerah Besut belum dilanda banjir seteruk Kemaman dan Kuala Berang dan penduduk masih menjalankan urusan seperti biasa walaupun hujan tidak berhenti-henti sejak empat hari lalu.
Sehingga jam 6.00 petang ini semua jalan utama menghubungi Bandar Jertih dengan kawasan lain masih boleh dilalui seperti biasa.
Tinjuan mendapati paras air Sungai Besut belum melimpah dan penduduk mengambil langkah-langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir.
Bagaimanapun, penduduk di penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampunh Pengkalan Atap, Kuala Besut, dalam keadaan berja-jaga berikutan kemungkinan berlakunya ombak besar melanda penempatan berkenaan.
Penduduk, Abdul Rahman Mohamad,74, berkata penduduk berjaga malam sejak Ahad lalu kerana khuatir air pasang dan ombak memukul tebing pantai di situ pada waktu malam.
Katanya, pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama penduduk memantau pada setiap malam bagi menghadapi sebarang kemungkinan kejadian tidak diingini berlaku.
Beliau berkata, Pejabat Daerah Besut (PDB) juga sudah mengambil tindakan menimbus pasir untuk dijadikan banteng bagi mengelak air masuk ke rumah penduduk.