Halaman

02 December 2013

Jangan diskriminasi pesakit HIV

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh

Terengganu terpilih menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2013 yang bertemakan ‘Menuju Sifar’.

Selari dengan sambutan Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember setiap tahun, isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor merangkap Penaung Yayasan AIDS Malaysia telah menyempurnakan majlis perasmian sambutan Hari AIDS Sedunia yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih menarik, majlis anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu itu turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa duta selebriti riben merah seperti Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Hafiz Hamidun, Bob Yusof (AF), Najwa Latiff dan Dayang Nurfaizah.

Pelakon terkenal, Fahrin Ahmad berkata, tahun ini cukup menarik kerana Hari AIDS Sedunia disambut secara besar-besaran di Kuala Terengganu dan mendapat sokongan padu duta selebriti riben merah yang lain.

 “Saya amat terharu dan berbangga dengan sokongan semua rakan artis terutama yang bersama dengan Majlis AIDS Malaysia kerana sanggup turun padang untuk menyalurkan maklumat dan pengetahuan kepada golongan masyarakat berkaitan HIV/AIDS.

“Bukan kami sahaja sebagai artis, saya juga berharap ahli masyarakat yang pelbagai latar belakang tidak kira golongan agama, ahli akademik mahupun para pelajar dapat bersama-sama berkongsi maklumat berkenaan HIV/AIDS ini dengan orang lain,” ujar Fahrin yang telah empat tahun menjadi duta selebriti riben merah.

Fahrin berkata, selebriti sokongan riben merah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan berbilang bangsa dan sumbangan mereka kepada masyarakat juga adalah pelbagai.

 “Bagi saya sendiri, kebanyakan yang saya lakukan ialah berkongsi kisah-kisah pengalaman yang diceritakan pesakit HIV/AIDS dengan masyarakat.

“Sebagai selebriti, dengan pengaruh dan peminat yang kami ada, kami harapkan dapat menjadi orang tengah dalam menyampaikan mesej yang cuba disampaikan oleh Majlis Aids Malaysia dan mereka yang menghidap HIV/AIDS kepada masyarakat dengan lebih efektif lagi,” katanya.

Fahrin turut memgharapkan masayarakat di luar sana tidak mendiskriminasi mereka yang hidup dengan HIV/AIDS.

Sementara itu, hero filem Ombak Rindu, Aaron Aziz berkata, hampir dua tahun menjadi duta selebriti riben merah memberinya banyak peluang untuk menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Program ini sangat bagus kerana banyak memberi pendedahan kepada masyarakat terutama maklumat berkaitan HIV/AIDS,” ujarnya.