Bazlan..akan usaha. |
BATU RAKIT: Kerajaan akan berusaha mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di beberapa buah kampung di kawasan Dun ini pada setiap kali musim tengkujuh dengan membina sebuah longkang besar sejauh kira-kira dua kilometer.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, berkata pihaknya akan mencadangkan sebuah longkang besar dibina bermula dari hadapan SMK Batu Rakit sehinggalah ke Balai Penghulu Batu Rakit.
“Sebenarnya banjir ini berlaku kerana masalah perparitan, sekiranya masalah perparitan ini diatasi, Kampung Pengkalan Atap, Kubur Timah dan Mengabang Lekar tidak akan ditengelami air,” katanya.
Bazlan berkata, sebenarnya banjir yang berlaku di kawasan Batu Rakit itu tidak menyebabkan kepada perpindahan. Bagaimanapun, katanya, ia menyusahkan penduduk kampung terbabit untuk keluar masuk ke kawasan rumah masing-masing.
“Saya akan membuat cadangan untuk mengadakan satu longkang besar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Rakit hingga ke Balai Penghulu di Wakaf Cagak. Sekiranya longkang besar ini dapat diadakan oleh pihak kerajaan, Insya Allah masalah banjir ini akan dapat diatasi.
“Saya telah sebut masalah ini dalam mesyuarat kerajaan tempatan baru-bari ini supaya kerajaan dapat menyediakan longkang besar tetapi ia berdasarkan kepada bajet dan bajet itu cukup tinggi untuk mengadakan longkang besar sejauh kira-kira dua kilometer itu,” katanya.
Menurutnya, beliau sudah beberapa kali membawa perkara itu ke dalam mesyuarat kerajaan tempatan dan mengharapkan supaya projek pembinaan longkang itu di masukan ke dalam bajet 2014.
“Kepada penduduk kawasan terbabit, bersabar, untuk sementara kita dah gali parit-parit sepanjang kawasan banjir ini untuk mengurangkan kesulitan kepada penduduk kampung terbabit tetapi masalahnya parit ini mudah terhakis dan terpaksa digali pula pada tahun depan.
“Kalau ada longkang besar, cuma kita perlu bersih longkang sahaja. Tiap-tiap tahun kita gali parit sebenarnya untuk mengelakan berlakunya banjir ini tetapi parit ini tidak dapat menyelesaikan masalah berterusan.
“Jadi , saya mengharapkan pembinaan longkang itu dapat disegerakan bagi mengatasi masalah ini,” katanya yang akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan bukan sahaja masalah banjir malah soal-soal lain demi untuk kesejahteraan rakyat di kawasanya.