Halaman

07 December 2013

Jalan Chukai-Kuantan melalui Geliga sudah boleh dilalui.

KUALA TERENGGANU: Jalan yang menghubungkan Bandar Chukai ke Kuantan melalui Geliga sudah boleh dilalui semua kenderaan bermula awal pagi tadi.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) daerah Kemaman ketika dihubungi hari ini (jam 7.30 pagi) memberitahu jalan kembali pulih seperti biasa berikutan air yang melintasi jalan surut awal pagi tadi.

"Jalan untuk ke Kuantan boleh dilalui sejak awal pagi tadi, bagaimanapun di Chendor (Kuantan) hanya sebelah jalan sahaja di buka di sebuah jambatan di tempat itu kerana mengalami kerosakan. 

"Orang ramai boleh juga mengunakan jalan alternatif iaitu jalan Jerangau- Jabor melalui Beris Meraga-Seri Bandi-Padang Kubu untuk ke arah Kuantan atau Kuala Lumpur. Manakala Jalan Chukai ke Air Putih masih belum boleh dilalui kenderaan kerana masih ada air yang melintas jalan di beberapa tempat, pagi ini," katanya.

Dalam pada itu, bekalan elektrik yang terputus di beberapa kawasan sejak banjir melanda bandar Chukai dan sekitarnya baru-baru ini kembali pulih di beberapa tempat.

"Ada sebahagian kawasan yang sudah ada bekelan elektrik manakala beberapa tempat lagi belum ada, begitu juga dengan bekalan air," katanya.