Halaman

16 June 2010

KERJASAMA POLITIK TELAH LAMA DIAMALKAN BN

Oleh: Putera Pesisir Air

Pakatan atau kerjasama politik bukanlah perkara baru. Persepakatan antara kaum yang sudah tentu membabitkan orang-orang Islam dan bukan Islam sudah lama dirintisi oleh UMNO, MCA dan MIC melalui ‘Perikatan’ sehingga kita mencapai kemerdekaan.

Hari ini ada pihak tertentu baru berbicara mengenai hal tersebut. Tidak tahu mengapa baru sekarang, sedangkan dulu fikiran dan ilmu pihak yang berkenaan amat negatif mengenai perkara ini, sehingga timbul isu mengkafirkan sesama Islam akibat tindakan berpakat dan bekerjasama ini.

Hari ini baru berbicara tentang pakatan dan kerjasama politik ini yang diistilahkan sebagai ‘tahaluf siyasi’ yang sebenarnya telah lama wujud.

Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama orang Islam dengan bukan Islam yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya.

Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama.

Musuh yang sama itu misalnya termasuklah komunis, penjajah dan lain-lain.
Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.

Namun amatlahlah tidak betul orang Islam tertentu bekerjasama dengan bukan Islam (tahaluf Siyasi) untuk menentang musuh politiknya yang sama dalam konteks kepartian, sehingga akhirnya bekerjasama untuk menghancurkan orang Islam juga.

Kerjasama yang dipelopori oleh ‘Perikatan’ dan BN adalah untuk menentang musuh-musuh luar yang hendak mengancam negara yang didiami bersama, bukan untuk menghancurkan sesama Islam.

Kini ternyata apa yang telah dibuat oleh “Perikatan” dan “Barisan Nasional’ yang dipelopori oleh Umno sejak sekian lama baru terbukti kebenarannya sehingga membawa pemimpin-pemimpin lain yang berada di pihak pembangkang untuk mengikuti jejak yang pernah ditolak dan dicemuh itu.

Bahkan pembaca tentu masih ingat fatwa ‘kafir berikat’ pada Ogos 1963 oleh dewan ulamak sebuah parti yang bersidang di kediaman Menteri Besar Kelantan, di Kota Bharu, Kelantan, telah mengeluarkan hukum bersifat fatwa "Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara menjadi kafir atau haram".

Harap-harap tuduhan ini telah ditarik balik setelah pihak berkenaan sudah insaf dan memahami konsep berikat tersebut yang mereka sendiri sedang berusaha lakukan kini.

Kalau hendak dibuktikan,sebenarnya pakatan yang dirintisi oleh Umno melalui Perikatan dan BN adalah berkesan kerana berasaskan saling mengerti di antara satu sama lain untuk perpaduan dan keamanan.

Buktinya telah terbina kerajaan dan pemerintahan secara bersama dalam tempoh hingga lebih 50 tahun sampai kini, walaupun ada ruang-ruang yang perlu diperbaiki.

Apa yang hendak ditiru oleh pihak pembangkang sekarang hanya baru di peringkat permulaan, itupun masih lagi dalam polemik sesama mereka sendiri tentang kewajaran tindakan itu.

Masyarakat sama ada umat Islam dan orang bukan Islam di negara ini janganlah terperangkap dalam istilah dan tindakan-tindakan berpusing mereka yang beralih arah dari sebelum ini, kononnya suatu pendekatan yang baru, berkesan dan pragmatis atas sifat parti mereka adalah untuk semua (for all).

Sedangkan apa yang dilakukan itu telah lama dipraktikkan oleh Umno dan BN yang sebelumnya telah dicemuh dan diberi hukum yang bukan-bukan kepada orang Islam yang terlibat dalam kerjasama politik itu.

Halal dan Islamik kalau dilakukan oleh kumpulan mereka, tetapi haram dan bertentangan dengan Islam kalau dilakukan oleh orang lain, itulah sifat pemimpin dan pengikut yang menggunakan nama Islam untuk parti mereka.

TEGANUKITA