YB Haji Khazan mengagihkan anak pokok kayu karas kepada Pengerusi JKKK Bukit Nenasi.
Golongan petani diminta memanfaatkan setiap ruang tanah kosong dengan tanaman yang boleh mendatangkan keuntungan berganda seperti tanaman Kayu Karas bagi menjana pendapatan keluarga.
“Tanaman Kayu Karas amat menguntungkan petani disamping tidak perlu cari kawasan baru untuk menanamnya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, di majlis Kempen Penanaman Kayu Karas bagi DUN Batu Rakit, di Kampung Bukit Wan, baru-baru ini.
Katanya, pokok ini tidak memerlukan kawasan khas malah boleh ditanan dikebun buahan dan akan matang dalam tempoh lima tahun.
“Saya harap penanaman kayu karas ini menjadi sumber baru bagi masyarakat tempatan kerana permintaan terhadap bahan ini begitu tinggi dan harganya mencecah RM14,000 hingga RM18,000 sekilogram mengikut gred,” katanya.
Katanya, setiap 0.4 hektar pokok ini boleh ditanam antara 430 pokok hingga 1,000 pokok dan tidak keterlaluan jika meletakkan RM1,000 sahaja setiap pokok yang menghasilkan gaharu.
YB Khazan melahirkan keyakinan, jika tanaman ini diusahakan secara bersungguh-sungguh serta mendapat khidmat nasihat dari jabatan dari masa kesemasa, tidak mustahil ia menjadi sumber baru pendapatan golongan petani di negeri ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu (JPT), Dato’ Nor Akhirudin Mahmud berkata, pihaknya menanam secara ladang 40,000 pokok Kayu Karas di Mercang sebelum memperkenalkannya kepada masyarakat.luar.
“Tanaman ini berpotansi besar , sehingga ada yang mengatakan lebih bernilai daripada emas namun kini diancam kepupusan kerana hasilnya diambil dari hutan,” katanya.
Oleh itu katanya, usaha mengelak kehilangan terus pokok ini dipeta dunia perlu dilakukan dengan memberi seberapa banyak maklumat kepada masyarakat agar keberhasilan yang tinggi dapat dinikmati bersama.
Katanya, kayu karas (gaharu) digunakan dalam industri minyak wangi, produk perubatan, perubatan Ayurvedic, majlis keagamaan dan sebagainya mampu hidup ditanah pamah sehingga ketingggian 40 meter dan memerlukan taburan hujan dan kelembapan yang tinggi.
“Masyarakat perlu merebut peluang ini untuk mengusahakan secara pertanian hutan ladang dan diintergrasikan dengan pelbagai tanaman lain seperti herba dan tanaman komoditi,” katanya.
Katanya, Batu Rakit merupakan DUN kelima yang menerima pengagihan anak pokok ini dari JPT untuk memberi galakan petani mengusahakan tanaman dan pihak jabatan akan membuat pemantauan setiap enam bulan untuk melihat tumbesaran pokok.
YB Haji Khazan kemudiannya mengagihkan kira-kira 4,000 anak pokok kayu karas kepada 200 orang masyarakat tani dari 20 buah kampung dalam DUN Batu Rakit sebagai galakan tanaman tersebut.
TEGANUKITA