Pertima Terengganu Sdn Bhd menghantar 285,000 tin daging kambing korban yang dimuatkan dalam lapan kontena, ke luar negara iaitu Republik Chad di Afrika dan Lubanan, Timur Tengah, bertambah sebanyak 50 peratus daripada tahun sebelumnya.
Lebih membanggakan apabila Isamic Relief Worldwide (IRW) yang berpengkalan di Birmingham, England terus memberi kepercayaan kepada Pertima Terengganu Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri untuk melakukan kerja-kerja pengetinan daging korban bermula 2008.
“Kerajaan berhasrat untuk melihat Pertima menjadi pengeluar produk halal dalam tin pertama di negara ini dan di peringkat antarabangsa,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said pada majlis.perasmian Penghantaran Produk Daging Qurban di Pertima Terengganu Sdn Bhd di Chendering, Kuala Terengganu hari ini (28 Februari).
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri,Encik Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Pertima, Dato’ Rosli Mat Hasan dan Pengarah Operasi Islamic Relief Birmingham, Dr Adel Sabir.
Dato’ Ahmad melahirkan keyakinan tahap kualiti produk yang dikeluarkan dengan memperolehi persijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sijil keselamatan dari Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) yang dikeluarkan Moody International.
“Yang penting adalah usaha yang bersungguh-sungguh perlulah digerakkan sepenuhnya bagi mencapai matlamat ini,” katanya.
Pertima mula melakukan kerja-kerja mengetin daging qurban sejak 2008 dan berjaya memproses 200 tan di mana kesemua produk berstatus halal itu telah Berjaya dihantar ke beberapa negara seperti Palestin, Nigeria, Mali, Iraq dan Afghanistan.
Selain kontrak dengan IRF, dua pertubuhan Islam luar negara turut mendapat keyakinan dari Muslim Aid Australia dan Human Appeal International Australia untuk pengetinan daging qurban.
“Selaku anak syarikat kerajaan negeri, saya harap Pertima menjadi contoh dan peneraju dalam pengeluaran produk halal di negeri ini,” katanya.
TEGANUKITA