Halaman

27 February 2010

Nabi Muhammad Penyebar Agama Syumul

(Laporan Kamarudin Mat Akib dan Aida Abdul Rahman)















Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Stadium Negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh : Zulkipli bin CW. Putera

Ajaran Islam yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW adalah agama yang syumul meliputi semua aspek kehidupan.

Tetapi apa yang berlaku hari ini, sebahagian umat Islam terhad kepada ibadat tertentu sahaja dan tidak menganggap Islam sebagai addin atau cara hidup.

"Kerana itulah terjadi pelbagai gejala sosial yang melanda masyarakat Islam. Sebagai contoh kes pembuangan bayi yang tinggi, penagihan dadah dan lumba haram yang banyak melibatkan muda-mudi Islam.

"Ini semua berpunca daripada tidak menghayati dan tidak mengamalkan ajaran Islam sebagaimana yang diperintah Allah SWT," kata Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini (26 Februari).

Sebanyak 109 kontinjen terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi, sekolah, swasta dan NGO mengambil bahagian dalam perarakan sempena sambutan itu.

Tengku Sri Panglima Raja mengetuai perarakan itu yang turut disertai hmpir 4,000 umat Islam yang bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hingga ke Stadium Negeri.













Peserta berkumpul di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebelum perarakan bermula.


Turut serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah, Exco Kerajaan Negeri dan pemimpin masyarakat.

Tema sambutan pada tahun ini iaitu "Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah" menuntut agar umat Islam mencontohi ukhuwah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan menjadikan intipati ajaran Islam sebagai asas membangun ummah.












Tengku Sri Panglima Raja disambut Dato' Mazlan sebaik tiba di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pada sebelah petangnya, Menteri Besar dan isteri, Exco Kerajaan Negeri serta Pegawai Kanan Kerajaan melawat bayi yang lahir sempena sambutan Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Beliau meluangkan masa kira-kira satu jam memberi sumbangan wang tunai dan hamper.















Menteri Besar dan isteri menyampaikan cenderahati kepada bayi Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.



TEGANUKITA